Pemain Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan hidap kanser

Pemain Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan hidap kanser

Kapten pasukan Selangor FC, Brendan Gan mengesahkan dirinya menghidap kanser testis dan khidmatnya mungkin direhatkan buat sementara waktu bagi Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor Kosmo! Online.

Menerusi laman Instagram, pemain tengah Harimau Malaya itu berkata dia sudah melakukan pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut dan sedang menjalani proses pemulihan.

 

“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk menguatkan karakter diri sendiri.
“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan mengalami kanser testis dan saya sudahpun melakukan pembedahan. Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan,” tulis pemain berusia 33 tahun itu.

Malah, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu turut bersyukur dikelilingi individu yang memberikan sokongan penuh seperti ahli keluarga, rakan-rakan dan komuniti bola sepak tempatan.

“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dalam usaha kembali ke padang bola sepak memimpin pasukan Selangor secepat mungkin,” ujarnya.

 

Sebelum ini, ketiadaan Brendan mengundang persoalan peminat bola sepak kerana tidak beraksi ketika skuad Gergasi Merah itu bertemu Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super minggu lalu.

Lebih menjadi tanda tanya apabila kesebelasan utama pasukan Selangor memegang jersi No.88 milik Brendan ketika sesi bergambar sebelum perlawanan berlangsung.

Sumber: Kosmo! Online (Mohd Khairi Mohamad) , Instagram Brendan Gan