PELIK! Keretapi beroperasi selama 3 tahun dengan hanya seorang penumpang

BANYAK perniagaan dan perusahaan yang menggunakan slogan “pelanggan sentiasa betul,” dan “pelanggan adalah raja,” bagi meyakinkan orang ramai terhadap perkhidmatan mereka, tapi perkhidmatan yang disediakan ‘ke laut’ tidak seperti apa yang mereka war-warkan.

Namun ada satu kisah popular yang benar-benar melayan pelanggan seperti raja, bukan sekadar slogan dan retorik untuk menarik pelanggan dan mengaut keuntungan semata-mata.
Kana Harada
Kisah ini berlaku di Jepun, lima tahun lalu ada sebuah stesen perhentian keretapi bernama Hentian Kyu-shirataki, yang terletak jauh di pedalaman daerah Monbetsu, Hokkaido Jepun.
Perjalanan dari Hentian Kyu-shirataki untuk ke stesen seterusnya mengambil masa yang lama iaitu 1 jam 8 minit. Hentian itu juga merupakan jarak perhentian keretapi paling panjang di Jepun.
Bagaimanapun sejak tahun 1986, jumlah penumpang yang menaiki kereta api dari stesen Kyu-shirataki telah berkurang dengan begitu ketara.
Penurunan penumpang itu sekaligus menyebabkan kerugian kepada syarikat keretapi JR Hokkaido (Japan National Railways). Justeru ia membuat keputusan untuk menutup stesen tersebut.
Namun gara-gara seorang pelajar perempuan bernama Kana Harada, keputusan untuk menutup stesen itu terpaksa ditangguhkan selama tiga tahun.
Ketika syarikat itu merancang untuk menutup stesen tersebut, terdapat seorang pelajar perempuan tinggal berdekatan dengan hentian itu dan dia perlu berulang-alik ke sekolah setiap hari dengan menaiki keretapi.
Selepas menyedari perkara itu, stesen tersebut telah meneruskan perkhidmatannya selama tiga tahun, semata-mata demi seorang penumpang tetapnya itu dan menunggu sehingga dia tamat persekolahan.
Lebih menarik, jadual perjalanan keretapi juga turut diselaraskan mengikut jadual sekolah Kana Harada, selari dengan jadualnya pergi dan pulang dari sekolah.

Kana Harada tinggal di sebuah perkampungan terpencil di Shirataki, Hokkaido Jepun.

Kejiranan tempat tinggalnya di perkampungan itu hanya didiami oleh seramai 36 orang penduduk.
Setiap hari Kana Harada akan menaiki keretapi untuk pergi ke sekolah paling dekat dengan rumahnya, iaitu Sekolah Menengah Engaru, mengambil masa sekitar 35 minit perjalanan.
Sebaik sahaja Kana Harada tamat persekolahan, barulah perkhidmatan keretapi yang membawanya berulang-alik ke sekolah setiap hari itu akhirnya ditamatkan.
Sebelum ini, kereta api berkenaan menyediakan perkhidmatan sampai ke Stesen Kyu-shirataki hanya sekali pada waktu pagi untuk mengambil Harada, dan sekali lagi pada waktu tengah hari untuk menurunkan penumpang.
Dua lagi stesen di wilayah berkenaan iaitu, Kami-Shirataki dan Shimo-Shirataki turut ditutup disebabkan oleh jumlah penumpang yang terlalu sedikit.
Ketika ditemubual, Kana Harada meluahkan rasa sedih dan terharu dengan berita penutupan stesen keretapi itu.
“Saya naik turun kereta api selama tiga tahun, inilah stesen yang saya gunakan selama itu, sedih bila dapat tahu ia tiada lagi,” katanya.
Stesen itu dibina oleh penduduk tempatan dalam tahun 1955 sebagai pengangkutan para pelajar tempatan untuk ke sekolah. Kana Harada merupakan pelajar terakhir menggunakan perkhidmatannya.
Kisah ini pernah dilaporkan oleh akhbar tempatan Jepun, Asahi Shinbun pada 7 Januari 2015, namun ia kurang mendapat perhatian sehinggalah kisah ini diterbitkan semula di media sosial pada tahun 2016.
Laporan Akhbar Kana Harada

Sumber: https://www.milosuam.net/2020/12/keretapi-teruskan-operasi-3-tahun-tanpa.html?fbclid=IwAR0nL1Sg0kDwJUXGeEq2yhok8wn2IgJfyEeuN3RCmlgRhi23RGln9XmM2J4&m=1#axzz6iM01auC9