Pelakon Margaret Tan peluk islam dalam usia 79 tahun

Pelakon Margaret Tan peluk islam dalam usia 79 tahun

Pada 15 Februari lalu, dalam suasana penuh emosi, Margaret yang sudah biasa dengan kehidupan orang Melayu dan amalan umat Islam sejak zaman persekolahan, memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 36.

Mohd Taufik terlebih dahulu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika menuntut di universiti, kira-kira 20 tahun lalu.

Lama Terdetik Hati Peluk Islam

Berkongsi cerita, Margaret yang manis berhijab mengaku Mohd Taufik tidak pernah mendesak agar mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.

“SEBENARNYA, HATI SUDAH LAMA TERDETIK MEMELUK ISLAM. ANAK TIDAK PERNAH MENDESAK. CUMA SEKALI-SEKALA DIA BERTANYA BILA SAYA MAHU PELUK ISLAM.

“Minggu lalu, tiba-tiba saya terus bersetuju apabila dia bertanya lagi.

“Saya meminta dia menguruskan hal berkaitan pengislaman. Anak memang terkejut mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut saya hingga berkali-kali dia bertanya, apakah betul keputusan yang saya ambil.

“Taufik menangis terharu dengan keputusan ini (peluk Islam). Mungkin dia sudah lama menantikan saat cukup bermakna ini,” katanya di majlis anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) di ibu negara, baru-baru ini.

Anak Ajar Lafaz Syahadah

Margaret berkata, Taufik mengajarnya melafazkan syahadah dan merakamkan video pada detik itu di kediaman mereka.

“Taufik kemudian menghantar rakaman video kepada seorang ustaz yang tidak sempat datang ke rumah kami.

“Insya-Allah, kami akan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) minggu depan untuk urusan selanjutnya,” katanya.