Pelakon Asri Farhan mohon bantuan orang ramai kesan suspek bunuh nenek

Pelakon Asri Farhan mohon bantuan orang ramai kesan suspek bunuh nenek

Pada 23 September lalu, berita tentang seorang warga emas berusia 70-an yang maut dipercayai dibunuh di Taman Paroi Jaya telah dikongsikan di laporan media.

Warga emas ditemui tidak sedarkan diri

Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas sofa ruang tamu rumahnya dengan  kesan kecederaan di anggota badan serta beberapa barangan peribadi juga tiada.

Mohon bantuan peminat kesan suspek

Rupa-rupanya, mangsa yang meninggal dunia itu adalah nenek kepada pelakon muda, Farhan Asri apabila dia berkongsi gambar suspek di media sosialnya bagi meminta bantuan sesiapa yang dapat mengesan individu tersebut.

Menerusi muat naik di Instagram, Farhan memohon orang ramai supaya dapat memanjangkan perkara ini sehingga suspek dapat ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh neneknya, Datin Noraida Nordin.

 

 

Keluarga masih trauma

Menerusi laporan dari Mstar, Farhan atau nama sebenarnya, Muhamad Farhan Mohd Adri, 25 memaklumkan yang ketika ini suspek masih lagi belum dapat diberkas. Dia dan keluarga akui masih lagi trauma dengan kejadian tersebut memandangkan kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba dalam insiden yang sangat mengejutkan.

“Sehingga kini suspek yang mempunyai pertalian keluarga masih belum dapat ditangkap.
“Tetapi kami belum berputus harap untuk menuntut keadilan kematian nenek apatah lagi saya melihat sendiri keadaannya selepas kejadian hitam itu berlaku,” katanya.

 

Pelik kenapa nenek gagal dihubungi

Bercerita tentang insiden tersebut, pelakon drama Cukup Derita Itu mengatakan bahawa mereka sekeluarga menyedari ada sesuatu yang tidak baik berlaku kepada nenek selepas gagal menghubungi warga emas berkenaan pada hari kejadian.

Menurut Farhan lagi, kebiasaannya mereka akan menelefon atau pergi ke rumah neneknya setiap hari untuk bertanya keadaan namun pada hari tersebut mereka tidak ke sana.

“Selepas Asar kami ada telefon nenek tetapi tidak berjawab. Kami mengandaikan sesuatu berlaku sama ada nenek jatuh bilik air atau tangga
“Apatah lagi datuk juga tidak berapa sihat kerana mengalami masalah katarak tetapi masih boleh mendengar dengan baik dan peka terhadap keadaan sekeliling,” katanya.

Datuk menjerit minta tolong jiran

Jelasnya, sekitar jam 7 petang, datuknya, Datuk Madzlan Ahmad, 82, berasa tidak sedap hati apabila isterinya tidak masuk ke dalam bilik untuk menunaikan solat Maghrib dan tiada sebarang sahutan ketika dipanggil.

“Datuk memanggil nenek beberapa kali tetapi tidak disahut. Atuk keluar dari bilik dan menjerit meminta tolong daripada jiran. “Ketika jiran masuk ke rumah, mereka menemui nenek sudah terbaring di atas sofa,” jelasnya

Suspek ada beberapa kali datang nak pinjam duit

Dalam pada itu, pelakon berkenaan juga ada menyatakan bahawa suspek memang pernah beberapa kali datang ke rumah untuk meminjam wang namun arwah tidak dapat memberikannya dalam jumlah yang banyak kerana bercadang mahu membuat kenduri.

“Sebelum kejadian pembunuhan berlaku, ada beberapa kali suspek datang ke rumah untuk meminjam duit.
“Kali kedua dia datang datuk hanya memberi sedikit wang. Terakhir, memang dia datang membawa makanan dan ketika itulah nenek saya telah mati dibunuh,” jelasnya.

Difahamkan, sehingga ke hari ini, suspek masih gagal dikesan dan isteri suspek ada menyatakan yang suaminya ada membasuh baju selepas pulang ke rumah sebelum keluar dengan memakai baju berwarna putih.

Susulan daripada itu, Farhan dan seluruh keluarga meminta agar orang ramai yang tahu keberadaan suspek untuk memaklumkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan yang mengorbankan neneknya.

Sumber: Instagram farhanasriiMstar (Ain Norman), Harian Metro (Mohd Amin Jalil)