Pelajar perubatan ini sanggup tanam peranti bluetooth dalam telinga, untuk lulus peperiksaan

Pelajar perubatan ini sanggup tanam peranti bluetooth dalam telinga, untuk lulus peperiksaan

Gara-gara terdesak, seorang pelajar perubatan sanggup melakukan pembedahan untuk ‘menanam’ peranti bluetooth di dalam telinganya untuk lulus peperiksaan akhir graduasi.

Lapor portal Hindustan Times, insiden terbabit difahamkan berlaku di Mahatma Gandhi Medical College, India, dimana pelajar yang tak didedahkan identitinya itu sedang menjawab peperiksaan Perubatan Awam bersama 78 calon lain.

Menurut dekan kolej terbabit, pelajar itu sudah 11 tahun belajar di institut terbabit dan ini merupakan percubaan terakhirnya untuk lulus peperiksaan akhir untuk bergelar graduan perubatan.

Ketika sedang menjawab, salah seorang ahli ‘skuad terbang’ iaitu kumpulan pengawas peperiksaan daripada Devi Alhilya Bai University telah menarik pelajar terbabit ke tepi selepas menemukan telefon bimbit dalam poket seluarnya. Hasil pemeriksaan mendapati, alat eletronik terbabit tidak dimatikan dan sedang bersambung pada satu peranti Bluetooth lain.

Pun begitu, ‘skuad terbang’ gagal menemukan peranti Bluetooth lain pada pelajar berkenaan sebelum sesi soal siasat akhirnya mendedahkan pelajar terbabit ada mendapatkan pembedahan untuk ‘menanam’ peranti Bluetooth di dalam telinganya untuk menipu dalam peperiksaan berkenaan.

Peranti berkenaan difahamkan akan dihantar untuk siasatan lanjut yang akan menentukan sama ada kes terbabit perlu atau tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.