Pelajar diheret guru lelaki ke stor, paksa buka seluar untuk rakam alat sulit
Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun membuat laporan polis mendakwa seorang guru merakam gambar alat sulitnya dan mengugut akan memuat naik gambar itu ke internet.
Mangsa dalam laporan polisnya berkata, guru lelaki itu mengheretnya ke bilik stor selepas dia menendang guru berkenaan ketika bermain futsal.
Katanya, guru itu menutup pintu, sebelum mengarahkannya menanggalkan seluar dan berbaring di lantai. Guru berkenaan kemudiannya menggunakan telefon untuk merakam gambar alat sulit mangsa, menurut laporan itu.
Pelajar itu juga mendakwa guru tersebut menyerangnya dengan menggenggam kolar baju dan menekan badannya ke dinding.
FMT difahamkan polis daerah Klang Selatan sudah membuka siasatan ke atas laporan itu.
Peguam, V Vemal Arasan yang mewakili keluarga pelajar itu berkata, pihak sekolah memberi tekanan kepada mangsa untuk menarik balik laporan polis itu, tetapi laporan baharu dibuat selepas beliau bercakap dengannya.
Katanya, lima lagi pelajar menjadi saksi tindakan guru itu terhadap anak guamnya.