PdPR : Ibu bapa terpaksa pinjam ah long beli gajet untuk anak
Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima sembilan aduan daripada ibu bapa yang terpaksa meminjam ah long untuk menyediakan peranti elektronik bagi membolehkan anak mereka menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima 17 aduan melibatkan pinjaman ah long dengan sembilan daripadanya untuk tujuan pembelian gajet kepada anak.
Menurutnya, pengadu yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan dan bekerja sendiri mendakwa terpaksa mengambil risiko sedemikian disebabkan tidak mampu menyediakan peranti elektronik untuk anak mereka.
“Disebabkan pendapatan mereka terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini, ibu bapa ini mendakwa tiada pilihan lain dan terpaksa membuat pinjaman dengan ah long semata-mata tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam pelajaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, pengadu mendakwa mereka membuat pinjaman sebanyak RM1,000 daripada ah long untuk tujuan itu dengan bayaran ansuran harian atau mingguan serta kadar faedah antara 10 hingga 20 peratus.
“Bagaimanapun, kini mereka buntu apabila tidak mampu untuk membuat bayaran ansuran harian ataupun mingguan disebabkan kadar ditetapkan tinggi,” katanya.
Mohamad Yusrizal berkata, situasi yang berlaku menunjukkan masih ramai ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan keperluan gajet untuk sesi PdPR anak sehingga terpaksa meminjam kepada ah long.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap pemberian gajet percuma oleh kerajaan dapat diberikan kepada golongan tidak berkemampuan untuk memilikinya.
“Selain itu, alternatif lain perlu diusahakan misalnya dengan membuka kelas komuniti, manakala saluran Didik TV Kementerian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu diteliti dan dengan pengawasan demi memastikan anak-anak belajar dengan baik, ” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, isu desakan dialami ibu bapa untuk menyediakan gajet bagi keperluan PdPR anak mereka dikhuatiri berlaku disebabkan dasar pendidikan ketika ini agak kurang jelas.
“Jadi sama ada ada mampu atau tidak mampu, ibu bapa perlu menyediakan gajet untuk anak maka perkara ini perlu dikaji demi memastikan keluarga khususnya dari kalangan B40 tidak menerima impaknya,” katanya. – SH