PBB bimbang nasib 600,000 Muslim Rohingya selepas rampasan kuasa di Myanmar

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bimbang rampasan kuasa di Myanmar akan memburukkan lagi keadaan kira-kira 600,000 Muslim Rohingya yang masih berada di negara itu.

Kebimbangan itu disampaikan jurucakap PBB Stephane Dujarric semalam sebelum Majlis Keselamatan PBB merancang untuk bertemu bagi membincangkan perkembangan terbaru hari ini.

Tentera Myanmar merampas kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dilantik secara demokratik semalam. Suu Kyi juga ditahan bersama pemimpin politik lain dalam serbuan awal pagi.

Gempuran tentera pada 2017 di Rakhine, Myanmar mengakibatkan 700,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, di mana mereka masih tersadai dalam kem pelarian.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan negara Barat menuduh tentera Myanmar melakukan pembersihan etnik, tuduhan yang dinafikan pihak tentera.

“Terdapat sekitar 600,000 orang Rohingya yang masih tinggal di Rakhine, termasuk 120,000 orang yang terkurung dalam kem. Mereka tidak dapat bergerak bebas dan mempunyai akses yang sangat terhad untuk perkhidmatan kesihatan dan pendidikan asas,” kata Dujarric.

Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota itu merancang untuk membincangkan isu Myanmar dalam pertemuan tertutup hari ini, kata diplomat.

“Kami ingin menangani ancaman jangka panjang terhadap keamanan dan keselamatan, tentu sahaja dalam kerjasama dengan jiran ASEAN dan Asia Myanmar,” kata Duta PBB Britain Barbara Woodward, presiden majlis tersebut untuk Februari, kepada wartawan.

China, yang disokong oleh Rusia, melindungi Myanmar daripada tindakan majlis yang signifikan selepas insiden gempuran tentera pada 2017. Beijing dan Moscow mempunyai kuasa veto dalam majlis, bersama Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

Tentera Myanmar berkata mereka menahan Suu Kyi dan yang lain sebagai tindak balas terhadap “penyelewengan pilihan raya”, menyerahkan kuasa kepada Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing dan melaksanakan darurat selama setahun.

PBB menggesa supaya semua yang ditahan dibebaskan, kata Dujarric. Tambah beliau, wakil khas Guterres di Myanmar, Christine Schraner Burgener, “tetap aktif terlibat” dan mungkin akan memberikan penerangan ringkas kepada Majlis Keselamatan. – FMT