Pasangan kekasih ditahan polis, buang bayi masih bertali pusat ke sungai

Pasangan kekasih ditahan polis, buang bayi masih bertali pusat ke sungai

Sepasang kekasih ditahan di Kampung Melayu Pandan, di sini, kerana dipercayai terlibat dalam kes buang bayi ke dalam sungai bayi dalam kejadian semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun.

Menurut beliau, siasatan dibuat mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan kekasih dan dipercayai adalah ibu bapa kepada bayi berkenaan.

“Polis mengesan beberapa gambar dan satu rakaman video tular yang menunjukkan penemuan seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam sebuah parit di Kampung Melayu Pandan, di sini.

“Perkara tersebut turut dilaporkan seorang pengadu iaitu seorang wanita berusia 33 tahun yang menemukan mayat bayi tersebut pada pukul 11.50 pagi, semalam.

“Mayat bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Roslan, bertindak atas maklumat, polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai ibu bapa kepada bayi malang tersebut dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 1 petang hingga 1.30 tengah hari, hari sama.

Ujarnya, semakan ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tidak mempunyai hubungan suami isteri.

“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa barangan antaranya t-shirt dan kain sarung yang terdapat kesan darah, dua telefon bimbit dan juga beberapa ubat seperti Ciproglen, Fenagessic, Anarex dan Spasmin,” katanya. – KOSMO! ONLINE