Pasangan curi gelang RM10K akhirnya ditahan polis

Pasangan curi gelang RM10K akhirnya ditahan polis

Sepasang kekasih yang sebelum ini bertindak melarikan seutas gelang emas RM10,000 dari sebuah kedai hanya sempat bersuka ria selama seminggu sebelum ditahan malam tadi.

Pasangan berusia 21 dan 24 tahun itu ditangkap pada pukul 11.30 malam di sekitar Pudu di Kuala Lumpur oleh sepasukan polis Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, suspek dipercayai telah menggadaikan gelang emas seberat 36.76 gram itu.

“Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha NVX, beberapa helai pakaian yang dipercayai digunakan pada hari kejadian, resit pajak gadai, sejumlah wang tunai dan tiga buah telefon bimbit.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita melarikan barang kemas tersebut ketika menyamar sebagai pelanggan di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah Jumaat lalu.