Pas tuntut Muhyiddin bantu Felda

Pas tuntut Muhyiddin bantu Felda

Kerajaan Negeri Pahang diminta menjelaskan kedudukan Perumahan Generasi Kedua FELDA Lurah Bilut berikutan tidak disenaraikan atau dikemukakan statusnya semasa Belanjawan 2021 Pahang.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Bentong berkata, perkara itu penting atas nama kepentingan rakyat khususnya penduduk atau generasi pewaris tanah rancangan tersebut kerana ia berkait kehidupan dan masa depan mereka.

Bahkan juga menurutnya, tanpa ada dalam senarai atau disebut di dewan yang mulia itu, seolah-olah FELDA Lurah Bilut dipinggirkan di mana tentunya akan menimbulkan ‘rajuk hati’ warga FELDA pertama negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Nazri Ngah telah mengemukakan jawapan berkaitan semasa Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan semalam.

Ustaz Shahril Azman Abd Halim (PAS-Jengka) dalam soalan berkaitan kedudukan Perumahan Generasi Kedua FELDA diberitahu 3,333 rumah yang telah siap, dalam pembinaan dan dibangunkan semula setelah terbengkalai.

Ianya melibatkan 18 kawasan tanah rancangan FELDA di seluruh negeri ini untuk diduduki anak-anak generasi pewaris peneroka FELDA termasuk dari peruntukan RM38 juta disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Yusma yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pahang menambah, sekiranya kerajaan negeri kekurangan peruntukan bagi tujuan itu untuk FELDA Lurah Bilut, beliau berharap ianya dapat diangkat untuk perhatian Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, hal itu sesuai dengan kedudukan dan sejarah dimiliki FELDA tertua tersebut di mana juga diharap dapat disuarakan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak atas legasi bapanya.

“Almarhum bapa beliau, Tun Abdul Razak Hussein adalah pencetus FELDA tersebut. Malah perkara ini juga dapat dipertegaskan sama oleh mantan Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob. Sebagai ADUN Pelangai, beliau memang agak dekat dengan FELDA Lurah Bilut.

“Saya percaya, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin amat mendengar suara hati warga FELDA termasuk di FELDA Lurah Bilut. Kami mohon suara generasi baharu peneroka tidak dihampakan,” rayunya.

Sumber: Harakah Daily

COMMENTS