PAS tak rela tinggalkan Bersatu demi Umno

Pas berpendapat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh diketepikan dalam perjuangan politik dan usaha mengekalkan perpaduan Melayu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, penglibatan parti Melayu bukan hanya antara Pas dan UMNO sahaja, sebaliknya perlu melibatkan parti lain termasuk Bersatu.

Beliau berkata, penggabungan dengan semua parti Melayu lebih baik dalam usaha mengekalkan kuasa bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Bagi saya, lebih baik kita bersama… bukan sahaja dua parti, tapi parti-parti Melayu bersama dalam satu usaha untuk mengekalkan kuasa.

“Dan kita meraikan pelbagai bangsa dan agama dalam negara kita… kita raikan, bagi saya lebih besar lebih baik… satu berkas lidi, kalau dah besar banyak guna… lebih kuat,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini, yang berpandangan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional mampu menguasai kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata, misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama PAS dan tiada siapa patut menghalangnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sudah lama parti Melayu bertelagah yang mengakibatkan kerugian kepada orang Melayu dan Islam.

“Bagaimanapun Allah mentakdirkan penyatuan antara UMNO, Pas dan Bersatu… yang merupakan peluang diberikan untuk memperbetulkan keadaan.

“Ini menimbulkan kesedaran kepada rakyat bahawa tidak sepatutnya orang melayu bertelagah kerana parti,” katanya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/jangan-tinggalkan-bersatu-demi-perpaduan-melayu-pas-271111