Pas saran Umno belajar tentang aulawiyat politik

Pas saran Umno belajar tentang aulawiyat politik

Muafakat Pas dan UMNO tidak mengikat antara satu sama lain, malah Pas dan Umno bebas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak selagi tidak melanggar persepakatan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, berdasarkan faktor itu Pas tidak kisah apabila UMNO mengadakan hubungan mereka dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

Namun katanya, terdapat satu persepakatan iaitu mana-mana pihak tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau individu pimpinan pakatan tersebut.

“Atas dasar itu, Pas tiada hubungan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) atau DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Juga tidak menyokong Lim Kit Siang atau Mohamad Sabu atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adapun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan (Presidennya) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah keluar dari PH. Maka di mana khianatnya Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas persoalan yang ditimbulkan segelintir pihak bahawa parti itu mengkhianat UMNO dengan mengadakan kerjasama dengan Bersatu dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mokhtar berpandangan bahawa pengkhianatan hanya berlaku apabila secara diam-diam Pas dan ahli Parlimennya menyokong Anwar dan berjanji untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Muafakat Nasional (MN) dapat diperkukuhkan oleh Pas dan UMNO dengan sebaiknya dengan berpegang teguh kepada piagam yang digariskan sebelum ini.

“Jangan layan pihak-pihak yang mahu pecahkan PN atau BN atau MN. Jangan ambil sebarang pendekatan politik yang boleh mengembalikan PH dan DAP ke Putrajaya. Cuba belajar mengenali aulawiyat politik.

“Kerana aulawiyat politiklah maka Pas sanggup tak bertanding walau satu kerusi pun di Sabah kerana bagi Pas mengalahkan PH lebih penting dari Pas bertanding.

“Dengan itu semua pihak mesti mempastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya bertanding dua penjuru sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika ketiga-tiga parti utama iaitu Pas, Bersatu dan UMNO gagal memutuskan pertandingan hanya dua penjuru, bermakna mereka perlu bersedia melihat PH kembali menjadi kerajaan.

“Dan itu merupakan malapetaka yang lebih dahsyat dari pandemik koronavirus (Covid-19) kepada negara ini,” tambahnya.

Sumber : Sinar Harian

COMMENTS