Panas!! Umno terima pelawaan Muhyiddin masuk majlis presiden PN?

Cadangan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk penubuhan majlis presiden terdiri pemimpin parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak dapat meraih sokongan daripada sekutu tertentu, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno hanya sekutu kepada PPBM dalam kerajaan persekutuan, bersama PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukan anggota kepada gabungan itu.

“Cadangan itu bertujuan untuk memastikan PPBM menguasai kerusi strategi di kawasan Melayu dan ini merugikan Umno serta menguntungkan PPBM secara besar-besaran,” kata Awang Azman.

“Bagi GPS, penyertaannya dalam PN pada asalnya ialah untuk bantu ‘selamatkan negara’ selepas Mahathir (Mohamad) meletak jawatan dan ia tidak mahu didominasi oleh PN,” katanya.

Awang Azman berkata, perbincangan mengenai majlis presiden PN bermula selepas Muhyiddin semakin yakin yang PPBM akan mendominasi arena politik negara memandangkan beliau terselamat daripada undian Belanjawan 2021 pusingan pertama pada Khamis.

Cadangan penubuhan majlis presiden merangkumi pemimpin PN, Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibangkitkan Muhyiddin semalam.

Beliau berkata, mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

“Ini penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet justeru menerusi mesyuarat ini ketua parti boleh menyalurkan pandangan masing-masing untuk dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar,” kata Muhyiddin.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg serta Pengerusi GRS Hajiji Noor, masing-masing ketua menteri Sarawak dan Sabah, bukan anggota Kabinet.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berkata, Umno akan berada dalam kedudukan janggal sekiranya parti itu tidak bersetuju dengan penubuhan majlis berkenaan.

Beliau berkata, beberapa kerosakan boleh dielak sekiranya majlis presiden itu dibentuk lebih awal.

“Majlis presiden ini merupakan sebahagian respons kepada permintaan Umno supaya suaranya didengar dan dirundingkan,” katanya.

Bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, majlis presiden akan membuka ruang kerjasama kepada PPBM, Umno dan PAS sekiranya mereka mahu bertanding bawah logo yang sama.

“Saya rasa belum terlambat untuk menubuhkan majlis presiden supaya mereka (pemimpin) mempunyai saluran untuk menyampaikan aspirasi mereka terhadap dasar nasional kerana pada masa ini ia dirumus dan dikawal oleh seorang perdana menteri dari PPBM dan portfolio lain yang penting seperti pendidikan dan ekonomi juga dipegang oleh menteri PPBM,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today