Panas! Neelofa bakal jawab segala spekulasi

Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa bersedia untuk menjawab segala spekulasi yang dikaitkan dengannya hari ini.

Jelitawan berusia 31 tahun itu dijangka mengeluarkan kenyataan media sekitar pukul 8 malam ini.

Mengesahkan perkara itu, pengurusnya, Shawn Amer berkata, pihaknya sedang menyiapkan kenyataan media untuk diedarkan kepada wartawan hari ini juga.

“Pihak kami sedang menyiapkan kenyataan. Kami akan edarkan kepada rakan-rakan wartawan. Saya harap anda semua dapat bersabar sebentar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ditanya bagaimana keadaan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, Shawn berkata, artis berkenaan dalam keadaan yang sangat tenang.

Sejak semalam, banyak spekulasi mengenai status hubungan Neelofa dan PU Rizz didebatkan di media sosial.

Media-media tempatan juga tidak terlepas melaporkan mengenai dakwaan yang mengatakan hubungan pasangan berkenaan dalam keadaan tidak baik.

Astro AWANI yang menghubungi beberapa sumber yang dekat dengan keluarga Neelofa pula memaklumkan, adalah terlalu awal untuk mengatakan pertunangan artis berkenaan dengan PU Rizz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, sudah berakhir.

Namun begitu, sumber memaklumkan, berdasarkan perbualan antara ahli keluarga Neelofa memberi bayangan bahawa hubungan Neelofa dan PU Rizz ‘sudah berakhir’.

“Bayangan yang diberikan sepertinya ‘tiada jodoh’ antara Neelofa dan PU Rizz,” kata sumber itu kepada Astro AWANI.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-hiburan/neelofa-sangat-okey-akan-jawab-hari-ini-juga-pengurus-274931?fbclid=IwAR3hGglAJbwMm29A5UGIxa8TOuwW_Ey98YgoTQiLu0jGFYGaK10MpShKDSs