Padah guna pengecas telefon rosak
London: Akibat cuai menggunakan pengecas telefon rosak, mata remaja di United Kingdom ini hampir buta.
Penuntut jurusan perundangan Universiti Birmingham, Esther Modede, 19, itu menyedari wayar pengecasnya rosak, namun tetap mengecas telefon bimbitnya pada 27 April lalu.
Tidak lama selepas itu, telefon dan pengecasnya mula terbakar dan berasap sebelum percikan api terkena pada mata kirinya.
Menurut Esther, kejadian itu membuatkan matanya tidak boleh melihat dan dirawat di hospital selama tiga hari.
Katanya, ketika balutan dibuka, matanya masih belum boleh melihat sepenuhnya, namun beransur pulih.
“Saya tak sangka kesilapan menggunakan pengecas rosak itu merosakkan mata saya,” katanya dalam Daily Mirror.
Katanya, pakar mata di Birmingham City Hospital memberitahu percikan api pada pengecas itu yang membuatkan korneanya rosak.
“Ketika percikan itu, mata saya terus tertutup dan saya rasa mula membengkak dan penglihatan saya menjadi kabur.
“Kini, keadaan mata saya jauh lebih baik dan boleh membaca walaupun sebelah mata lagi ditutup,” katanya.
-HarianMetro