Padah buang patung hiasan RM25, pembantu kedai makan didenda RM2,500

Padah buang patung hiasan RM25, pembantu kedai makan didenda RM2,500

 

Seorang pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat dengan membuang patung hiasan milik individu lain dalam satu kejadian di Taman Scientex Senai, dekat sini pada 15 Mei lalu.

Gabriele Jungkak Anak Steward turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 23 tahun itu telah mengambil patung hiasan bernilai RM25 yang bersambung dengan air pancutan sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak memberitahu dia membuang patung berkenaan kerana ianya telah mengganggu ketika dia sedang melalui kawasan berkenaan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah turut menasihati tertuduh untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.