Orang ramai lari bertempiaran, impak tsunami akibat letusan gunung berapi Tonga dilapor sampai hingga ke Peru & Amerika Syarikat

Orang ramai lari bertempiaran, impak tsunami akibat letusan gunung berapi Tonga dilapor sampai hingga ke Peru & Amerika Syarikat

Letusan gunung berapi Hunga Ha’apai di Tonga semalam bukan sahaja telah menghamburkan asap dan debu-debu hitam tetapi juga telah mencetuskan kejadian tsunami sehingga mencetuskan kebimbangan di negara-negara berhampirannya.

Memetik laporan NHK World Japan, impak dari tsunami Tonga juga turut membadai pantai Peru yang berada 10,000 kilometer jauh dari negara itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik Amerika Syarikat (AS) berkata air yang sampai ke pantai negara itu adalah setinggi 80 cm.

Menerusi video yang dimuatnaik oleh netizen di media sosial, orang ramai yang berada di tepi pantai Paracas dilihat melarikan diri setelah air mula naik.

Walaupun ia mungkin tidak seteruk seperti tsunami di Tonga, namun kawasan itu mengalami banjir dan berkemungkinan menyebabkan beberapa kerosakan.

Sementara itu, gelombang tsunami sehingga 1.3 meter turut direkodkan di Port San Luis, California, Oregon, Washington, British Columbia di Kanada dan Alaska, lapor Daily Mail.