Nyaris diganggu, wanita sembur petrol pada sekumpulan lelaki mencurigakan

Nyaris diganggu, wanita sembur petrol pada sekumpulan lelaki mencurigakan

Dalam situasi mencemaskan, ramai yang mudah menjadi panik atau kaku dan tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan diri. Refleks yang cepat adalah penting agar kita dapat segera berfikir dan mencari jalan untuk mempertahankan diri menggunakan apa sahaja benda yang ada di sekeliling kita.

Antara cara mudah untuk melatih refleks agar kita dapat segera bertindak dalam situasi mencemaskan adalah dengan bermain sukan atau bermain permainan video, serta melatih fikiran supaya sentiasa tenang.

Salah satu contoh refleks cepat yang membenarkan seseorang itu bertindak pantas untuk menyelamatkan dirinya dari bahaya adalah seperti yang dapat disaksikan dalam sebuah video yang tular ini.

Dalam video yang telah meraih 4.7 juta tontonan di Twitter, seorang wanita di sebuah stesen petrol dilihat sedang mengisi petrol dalam keretanya.

Tidak lama kemudian sebuah van tiba dan menghentikan kenderaan di sebelah kereta wanita itu sebelum beberapa lelaki keluar dan cuba menghampiri wanita berkenaan.

Namun sebaik melihat lelaki-lelaki itu keluar dari van dengan cara yang mencurigakan, wanita tersebut tanpa berfikir panjang menyiram petrol yang sedang dipam ke dalam keretanya pada lelaki-lelaki tersebut, membuatkan mereka membatalkan niat dan berlari masuk semula ke dalam van sebelum beredar.

Rata-rata netizen memuji tindakan pantas wanita berkenaan dan mengakui tidak semua mempunyai refleks yang cepat sepertinya.