Nur Shuhada rupanya menetap di Australia lepas bercerai dengan Hafidz Roshdi

Nur Shuhada rupanya menetap di Australia lepas bercerai dengan Hafidz Roshdi

 

Kes perceraian pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya, Nur Shuhada menjadi topik perbualan netizen buat sekian lamanya.

Terbaru, Nur Shuhada serta dua anaknya kini sedang menetap di Australia dan mengakui hidupnya di negara orang itu jauh lebih baik.

Kata Shuhada yang berusia 30 tahun itu, sebelum ini dia pernah mempertikaikan tentang nasib dirinya sehingga diduga dengan pelbagai masalah hidup (perceraian).

“Dulu saya memang terfikir mengapa Allah berikan saya ujian sebegini, apa salah saya. Tetapi saya bersangka baik dengan Allah dan Dia gantikan saya dengan benda lebih baik.

Jika dulu hidup bagaimana, tetapi sekarang ini Allah memberikan kepada saya kualiti hidup yang lebih baik.

Allah izinkan saya untuk bersama dengan kedua-dua anak dan menetap di sini (Australia). Saya bukan hendak berlagak, tetapi saya hendak kalian semua percaya Allah tidak akan membebankan kita dengan perkara yang kita tidak mampu,”katanya.

Dia juga menafikan kehidupannya itu kini lebih baik kerana dia sedang berkenalan dengan seorang lelaki atau ingin menunjuk kehidupan kini lebih baik berbanding sebelumnya.

“Saya katakan Allah akan menggantikan kita dengan yang lebih baik itu, bukan bermaksud menggantikan lelaki yang lebih baik. Tidak, saya di sini tiada sesiapa dan tidak bercinta dengan mana-mana lelaki.

Setiap daripada kita mempunyai ujian hidup masing-masing. Saya juga bukan orang baik dan tidak lari daripada berbuat dosa, tetapi paling utama perlu meletakkan Allah sebagai nombor satu, insya-Allah,” katanya.

Difahamkan, Shuhada sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan, awal Ogos lalu.