Nik Abduh dakwa pemimpin yang cuba rosakkan hubungan Muafakat Nasional akan dibuang

Seluruh ahli dan penyokong Pas serta UMNO akan menolak dan membuang mana-mana pemimpin yang cuba merosakkan hubungan Muafakat Nasional yang diikat kukuh dengan nama ALLAH SWT.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hubungan kedua parti itu berada dalam keadaan baik sejak Muafakat Nasional termeterai setahun lalu.

“Saya yakin seluruh pemimpin UMNO dan Pas menjunjung Muafakat Nasional yang diikat kukuh dengan nama ALLAH SWT. Jika ada pemimpin yang cuba merosakkannya, maka saya yakin, seluruh ahli dan penyokong Pas dan UMNO akan segera menolak, bahkan membuangnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok bertegas, kekeliruan yang berlaku tidak boleh menjadi punca dan alasan kepada kepanasan, kemarahan dan kebencian.

“Ia adalah ujian daripada ALLAH SWT yang bertujuan menguji kekuatan dan kesabaran para hamba-Nya yang dirahmati.

“Tumpu kepada penyatuan, pemurnian dan kesepakatan. Hindari wasangka dan keraguan sesama sendiri. Kenali tipu daya musuh,” katanya.

Jelasnya, negara memerlukan Muafakat Nasional demi kesejahteraan bersama kerana tanpanya, tiadalah Perikatan Nasional (PN).

Sumber: Sinar Harian