“Ni budak tahun 1, bukannya budak spm…”, ibu dakwa ustaz tampar anak di sekolah

Setiap guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bagi membentuk akhlak terpuji pelajar selain berperanan sebagai ‘ibu bapa’ di sekolah. Tak dinafikan , jasa dan pengorbanan insan yang bergelar guru ini memang tiada tolok bandingnya.

Tetapi lain pula kisah yang berlaku apabila seorang wanita mendakwa anaknya telah ditampar oleh seorang guru di sekolah.

Dakwa anak kena tampar

Berdasarkan perkongsian di Facebook, Ida Sofea Mohamed meluahkan rasa kesal dengan sikap seorang guru di sekolah anaknya. Wanita ini mendakwa anak lelakinya, Sahin yang baru berusia 7 tahun telah ditampar oleh seorang ustaz yang mengajar subjek Bahasa Arab.

Alasannya sebab Sahin menangis dan tak ada tanda nak reda dan buat ustaz tadi mengaku dia hilang sabar dan TERTAMPAR Sahin. Dia tak tahu mulut Sahin bengkak sebab mask. Mask juga menyelamatkan aku untuk tahu keadaan hari tu.

Bercerita dengan lebih lanjut, wanita ini mengakui sangat terkejut selepas melihat mulut Sahin sudah berdarah dan bengkak, Apabila ditanya, kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah ditampar oleh guru berkenaan.

 Aku nak tanya banyak aku tak faham sebab keadaan mulut bengkak buat dia susah nak bercerita. Jadi, bila balik sekolah agama, nampak bengkak mula susut. Cuma ada lebam darah beku kat dalam mulut dengan pipi bengkak sebelah. Bila dia bawa balik nasi bungkus yang dah beli kat sekolah, aku tau, dia tak makan. Dia tak boleh makan, sebab luka tadi start pedih. Last dia makan pukul 10 pagi, dan sepatutnya pukul 4 petang dia akan lapar.. Jadi, aku bawa ke klinik untuk ambik ubat kebaskan mulut supaya dia boleh makan.

‘Ustaz tadi terdiam’

Pada malam itu, Sahin dikatakan telah menceritakan kejadian sebenar kepada ibunya tentang apa yang berlaku di sekolah sehingga dia ditampar. Selepas mengetahui perkara itu, pada keesokan harinya, wanita ini dikatakan telah bersemuka dengan ustaz berkenaan bagi mendengar penjelasan dari pihaknya. Ustaz tersebut dipercayai mengaku telah menampar Sahin tetapi alasan yang diberikan boleh dikatakan tidak ‘masuk akal’.

Jadi, dia cerita, yang selepas ustaz tu lempang, dia tulis kat papan hitam as homework untuk disalin, dan cakap, “NAK SALIN, SALIN! TAK NAK SALIN SUKATI!” pada satu kelas. Budak TAHUN SATU bukan boleh berfikir manfaat dari SALIN dan akibat dari TAK SALIN. Ini bukan pelajar SPM ya.

Jadi esoknya bila bersemuka ustaz tersebut mengaku memang tertampar Sahin. Dan aku tanya isu SALIN tadi depan guru besar, HEP dan ustaz tadi. “Tapi Sahin salin dan buku dia saya dah ambil”. Kebodohan datang kat situ, sebab aku bagitau, aku check buku anak aku kosong. Dia bawa balik buku semalam. Dan ustaz tadi terdiam.

Tak akan ambil tindakan

Wanita ini juga mendakwa agak terkilan dengan respon ‘bersahaja’ yang diberikan oleh guru besar di sekolah tersebut. Sebagai seorang pemimpin, dia sepatutnya memberi jaminan bahawa kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi dan bukannya bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Ayat guru besar mudah, “benda dah jadi”. Ulang ayat yang sama. Aku ulang balik pada guru besar. “Saya benci ayat BENDA DAH JADI”. Jadi seorang pemimpin, sepatutnya apa yang perlu keluar adalah, “diharap perkara ni tidak berulang” sekurangnya janji kepada aku sebagai ibu supaya sentiasa memantau anak aku juga kepada guru lain supaya lebih peka dengan situasi dan sedar murid-murid ni mata dan telinga kepada ibu bapa.

Dalam kesempatan itu, wanita ini sempat menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak di sekolah. Hal ini kerana bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian seperti ini. Wanita ini turut berpesan kepada para guru supaya mengajarlah dengan penuh kesabaran dan bukannya dengan emosi.

Thanks pada yang bagi semangat, sokong aku suruh buat report polis semua. Cuma bagi aku tak perlulah. Bukan kata nak tunggu ada orang mati baru nak bergerak, tapi bagi aku, ustaz sendiri ada keluarga yang perlu dijaga, kita pun ada masalah yang masih belum selesai. Kita sama-sama manusia, sama-sama silap dan terlepas pandang.

Sumber: Ida Sofea Mohamed