Nekad terjun bantu remaja lemas, lelaki terkorban dibawa arus deras

Nekad terjun bantu remaja lemas, lelaki terkorban dibawa arus deras

Seorang pemuda berusia 32 tahun dilaporkan lemas selepas membantu seorang remaja lelaki yang dihanyutkan arus deras di longkang berdekatan Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang

Adik terjun selamatkan mangsa lemas

Menerusi Harian Metro, abang kepada Mohd Asraf, Mohd Izhar Mohd Hisham Tan, 33 memaklumkan yang adiknya bekerja sebagai penghantar barang telah terjun ke dalam longkang yang berarus deras untuk menyelamatkan seorang remaja.

“Adik saya memang gemar membantu orang lain tetapi hari ini dia kembali kepada Penciptanya ketika cuba membantu mangsa dihanyut arus deras,” katanya

Menurut Mohd Izhar lagi, kali terakhir bertemu dengan Mohd Asraf adalah pada pagi tadi ketika sesi taklimat berkaitan penghantaran barang.

Mangsa yang sudah berumah tangga telah memiliki empat cahaya mata berusia antara enam bulan hingga lima tahun manakala isteri tidak bekerja.

 

Baru lepas hantar barang

Mengulas mengenai kejadian yang meragut nyawa adiknya, Izhar memaklumkan hal tersebut dipercayai berlaku ketika arwah selesai melakukan penghantaran barang di pusat bandar raya.

“Ketika dia pulang dia terlihat kejadian itu lalu cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam longkang, malangnya dia dihanyut sekali.
“Arwah adik seorang yang gemar membantu individu dalam kesusahan, tidak sangka dia pergi selama-lamanya,” ujarnya.

Difahamkan, sebelum kejadian, remaja berkenaan bersama rakannya bermain di lokasi berkenaan sebelum terjatuh di longkang.

Mohd Asraf telah terjun membantu menyelamatkan salah seorang remaja tersebut sebelum dia juga hanyut bawa arus.

Kedua-dua mayat juga telah ditemui.

Sumber: Harian Metro (Mary Victoria Dass), Facebook Izham Tarmizi, Foto Comunity Roda Johor