Negara diistihar darurat, Korea Utara sahkan kes covid-19 pertama

Negara diistihar darurat, Korea Utara sahkan kes covid-19 pertama

 

Korea Utara hari ini mengesahkan kes pertama Covid-19 dikesan, sekaligus menyebabkan negara tersebut diisytihar sebagai darurat, lapor agensi NDTV.

Menurut NDTV, kemunculan kes pertama Covid-19 itu turut diisytihar sebagai satu insiden yang teruk selepas dua tahun negara itu bebas daripada wabak berkenaan.

Menerusi agensi berita rasmi KCNA, kes tersebut dikesan melalui sampel yang diambil daripada seorang pesakit di Pyongyang yang dilapor mengalami demam pada Ahad baru-baru ini.

Jelas laporan itu, sampel pesakit tersebut didakwa menyamai atau konsisten dengan varian Omicron yang dipercayai sangat mudah berjangkit sesama manusia

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tentang wabak tersebut, serta bakal mengumumkan pelaksanaan sistem kawalan virus ‘kecemasan maksimum’.

Menurut KCNA, Kim berkata matlamat mesyuarat bersama pegawai tertinggi negara itu adalah untuk menghapuskan akar wabak tersebut dalam tempoh masa yang paling singkat.

“Beliau memberi jaminan bahawa dengan kesedaran politik kepada rakyat yang tinggi, kami pasti akan atasi masalah ini dan juga akan memenangi projek kuarantin kecemasan,” katanya, lapor NDTV.

Dalam pada itu, Kim juga menyeru agar kesemua kawalan sempadan dan langkah penutupan yang lebih ketat perlu dilaksanakan.

Rakyat juga perlu dimaklumkan bahawa sekatan sepenuhnya di semua bandar dan daerah di seluruh negara akan dilaksanakan untuk membendung penyebaran wabak itu.

Difahamkan juga, semua aktiviti perniagaan dan pengeluaran akan dikendalikan oleh beberapa unit (terkawal) supaya penularan wabak penyakit ini dapat dibendung.

Memetik NDTV, negara tersebut telah menjalankan sekatan Covid-19 sejak awal 2020 bagi melindungi tanah air mereka daripada masalah ekonomi yang teruk dan perdagangan yang terhenti.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kali terakhir negara itu menjalankan ujian Covid-19 adalah pada akhir 2020 lalu dan kesemua 13,259 sampel adalah negatif.