Nama kena petik, bekas tunang minta henti kaitkan dengan ikon permotoran
Semalam, kecoh di media sosial apabila seorang ikon permotoran dilaporkan ditahan oleh pihak polis atas pertuduhan membuat ugutan kepada bekas kekasih kerana mahu menyebarkan gambar lucah.
Walaupun identiti suspek dirahsiakan oleh pihak polis, namun kebanyakan netizen dilihat membuat andaian sendiri ‘menebak’ ikon permotoran tersebut sehingga mendakwa mangsa adalah bekas tunangnya yang dikenali Sha Moy.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tampil bersuara dan menafikan mangsa yang diugut tersebut bukan dirinya, sebaliknya berpendapat bahawa ‘bekas’ lain.
Dalam pada itu, dia juga meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan namanya selain berhenti membuat andaian sendiri.
“Saya hanya ‘bekas tunang, bukan ‘bekas kekasih’.
“Jangan buat apa-apa andaian melebih. Kenyataan yang dibuat oleh media hari ini (kelmarin), tiada langsung kena mengena dengan saya,”ujarnya.
Tegasnya lagi, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan yang dibuat oleh netizen adalah tidak benar mengenai dirinya.
Terdahulu, ikon permotoran dilaporkan kena tahan dengan pihak polis setelah disyaki mengugut untuk menyebarkan foto lucah bekas kekasihnya.
Berita ini disahkan oleh Polis Gombak dengan mengatakan suspek telah ditahan untuk siasatan selepas mereka menerima laporan daripada mangsa.
Suspek direman empat hari bermula kelmarin hingga 13 Disember ini bagi membantu siasatan.