Nak kahwin punya pasal, Pemuda ‘pinjam’ bot redah banjir

Banjir bukan halangan apabila akad nikah menjadi taruhan.

Walaupun rumah kampong digenangi air, Muhammad Ali Hafiz Razilah, dengan baju pengantin dilipat dan disimpan dalam beg kalis air, mengharungi perjalanan dengan bot selama 40 minit untuk majlis akad nikahnya.

Hafiz, 32 dari Kampung Rantau Panjang, memakai persalinan berkenaan setibanya di rumah pasangannya, Nur Fatihah Hasim, 30, yang terletak kira-kira 59 km dari rumahnya.

“Air mula naik sejak semalam, jadi saya dan keluarga sudah berbincang mahu menaiki bot untuk ke jalan utama kerana kebiasaannya, laluan ditutup kepada semua kenderaan.

“Alhamdulillah, kami dapat bantuan dengan menaiki bot milik Majlis Perbandaran Dungun (MPD). Pengalaman ini paling manis untuk dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Beliau sempat menyatakan rasa syukur kerana perancangan untuk bergelar suami isteri tetap berjalan lancar walaupun terpaksa meredah banjir.

Sementara itu, ADUN Bukit Besi, Roslee Daud, memohon kerajaan membina pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di kawasan Hulu Dungun terutama di Kampung Shukor untuk keselesaan mangsa banjir.

Katanya, ia dilihat perlu memandangkan dua bangunan yang dijadikan PPS di kampung berkenaan turut dinaiki air hingga memaksa lebih 100 mangsa berpindah ke kawasan lain, termasuk menumpang di rumah penduduk yang tinggal di kawasan berbukit.

Menurutnya, bangunan tertutup dengan kapasiti 300 hingga 500 orang perlu dibina sebagai PPS kekal dan pihaknya boleh mengenal pasti tapak bersesuaian memandangkan masih banyak kawasan lapang di tempat yang tinggi terdapat di kampung berkenaan.

Kampung Shukor antara beberapa kampung di kawasan pedalaman Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir kali ini dengan lebih 20 rumah ditenggelami air hingga ke paras bumbung.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/07/kahwin-punya-pasal-hafiz-pinjam-bot-redah-banjir/