Nak jumpa kawan tapi gagal dapat kebenaran rentas daerah, lelaki tekad berenang rentas Selat Pulau Pinang

Nak jumpa kawan tapi gagal dapat kebenaran rentas daerah, lelaki tekad berenang rentas Selat Pulau Pinang

Gara-gara mahu berjumpa kawan, seorang lelaki sanggup ‘bertarung nyawa’ terjun ke laut dan berenang merentas Selat Pulau Pinang dari Daerah Timur Laut ke Seberang Perai, Pulau Pinang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, lelaki tersebut tekad berbuat demikian kerana gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada polis ekoran alasannya tidak munasabah.

“Dalam insiden berkenaan, seorang lelaki Melayu berusia 28 tahun telah tekad terjun ke laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke Seberang Perai.

“Namun dipercayai akibat kepenatan, lelaki Melayu berkenaan telah berpatah balik menghala ke pontoon jeti feri pejalan kaki sebelum berjaya diselamatkan oleh petugas Penang Free Port yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Lebuh Pantai,” katanya.

Kredit: Penang Kini

Difahamkan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya, sebaliknya lelaki itu hanya menyatakan butiran peribadi iaitu nama dan nombor kad pengenalan secara lisan ketika diselamatkan.

Dalam pada itu, semakan mendapati lelaki berkenaan berasal dari Bayan Lepas dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika ini.

“Menurut ibu lelaki berkenaan yang berjaya dihubungi menyatakan bahawa anaknya itu sudah lama tidak balik ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan.

“Ibu lelaki berkenaan juga menyatakan bahawa anaknya merupakan penagih tegar,” tambahnya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, lelaki itu telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan doktor mendapati, dia mengalami kecederaan patah tangan kanan dan masih berada dalam wad bagi rawatan lanjut.

Jelas Soffian, siasatan lanjut berhubung insiden tersebut akan dibuat setelah lelaki itu selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital kelak.

Sumber: IPD Timur Laut, Pulau Pinang