Najib terus tekan KWSP, pertikai jual aset

Anggota Parlimen Pekan, Najib Razak mempersoalkan mengapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menjual aset untuk menyediakan dana bagi membolehkan pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 dan Akaun 2 mereka.

Kata Najib, dia telah membangkitkan perkara itu di parlimen bahawa aset yang perlu dijual KWSP cuma bon pinjaman kerajaan dengan kadar faedah tetap yang dipegang institusi berkenaan.

“Kita tak suruh KWSP jual saham atau jual hartanah milik mereka pada harga murah.

“Cuma jual sebahagian daripada bon pinjaman kerajaan secara sementara untuk membayar mereka yang mahu keluarkan wang dari KWSP untuk menghadapi krisis.

“Yang dia nak jual aset tu dah kenapa?” kata bekas perdana menteri itu menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebooknya hari ini.

‘Bank Negara boleh bantu beli bon’

Menurut Najib kebiasaannya bon kerajaan membayar faedah antara dua peratus hingga empat peratus setahun.

“Sebanyak 50 peratus daripada jumlah aset RM940 bilion KWSP adalah dari kelas aset bon pinjaman ini.

“BNM boleh mengambil peranan untuk membeli sebahagian daripada bon kerajaan dipegang KWSP ini untuk mengurangkan impak kepada pasaran bon tempatan akibat penjualan oleh KWSP.

 

“Seterusnya, BNM boleh jual semula bon ini ke pasaran bon tempatan secara bertingkat jika BNM tidak mahu pegangnya untuk tempoh yang lama.

“Ataupun dijual balik kepada KWSP secara berperingkat sebab jumlah aset KWSP meningkat setiap bulan apabila majikan dan pekerja membuat caruman bulanan,” katanya lagi.

Terdahulu KWSP dilaporkan berkata tabung persaraan itu akan terus menjual asetnya untuk menyediakan dana bagi membolehkan pencarum mengeluarkan wang dari Akaun 1 dan 2.

“Buat masa ini, ini soal meningkatkan strategi, yang bermaksud (kita akan melihat) apakah ada keperluan untuk menyeimbangkan kembali aset kita.

“Setakat yang kami tahu, Peruntukan Aset Strategik (SAA) akan terus jadi pemacu utama. Kami juga sangat prihatin mengenai impak terhadap pasaran,” kata ketua pegawai pelaburan KWSP, Rohaya Mohamad Yusoff.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias ​​juga mengatakan institusi berkenaan akan hilang peluang untuk melabur apabila wang dikeluarkan pencarum.

 

Mengulas lanjut, Najib berkata KWSP perlu mempertimbangkan kepentingan siapa yang lebih utama.

“Ahli KWSP yang sedang lemas dan perlu dana lump sum untuk menyelesaikan masalah pada masa krisis Covid atau kehilangan KWSP untuk melabur?

“Namun pada saya, kesejahteraan dan kelangsungan hidup ahli KWSP dan keluarga mereka merupakan pelaburan paling kritikal pada saat ini,” kata Najib.

Najib, yang mengetuai Kelab Ahli Parlimen Backbencers Barisan Nasional sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah dengan syarat ahli KWSP dibenarkan membuat pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan ahli KWSP dibenarkan mengeluarkan maksimum RM6,000 (RM500 sebulan selama 12 bulan) di bawah skim i-Lestari.

Sementara itu, di bawah skim i-Sinar membolehkan mereka yang kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji, atau tidak mempunyai sumber pendapatan lain mengeluarkan sehingga 10 peratus simpanan dalam Akaun 1 mereka, selagi mempunyai simpanan minimum RM100 dalam akaun berkenaan.

Sumber: Malaysiakini