Najib mahu Menteri Pas didakwa segera

Najib mahu Menteri Pas didakwa segera

Bekas perdana menteri, Najib Razak, mahu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali didakwa kerana melanggar perintah kuarantin kendiri selepas kembali dari kunjungannya ke Turki pada Julai lalu.

Najib berkata isu tersebut menyebabkan kebanyakan rakyat tidak berpuas hati kepada kerajaan dan memberi ruang untuk pembangkang mengambil kesempatan.

“Biar mahkamah putuskan dia salah atau tidak, atau apa hukumannya.

“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau (jabatan) imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Najib isu pelanggaran kuarantin kendiri wajib yang dikaitkan dengan Khairuddin itu harus ditangani dengan tuntas agar ia tidak terus dijadikan modal pembangkang.

Katanya, Khairuddin – yang dianggap antara ulama kanan PAS – masih boleh merayu jika disabitkan bersalah dalam perbicaraan nanti.

“Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH sebab saya dah bosan tengok Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama,” jelasnya merujuk kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Najib turut menuntut Lim supaya turut mengkritik Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memohon maaf kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

Galakkan kerja dari rumah

Amirudin sebelum ini berkata dia bertindak demikian kerana terpaksa melihat secara dekat krisis bekalan air di Selangor ekoran pencemaran di Sungai Semenyih.

Dia juga sudah disahkan negatif dalam dua ujian saringan Covid-19.

Pagi tadi Malaysiakini melaporkan pihak polis sudah menyerahkan semula kertas siasatan (IP) membabitkan isu Khairuddin ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada Ogos lalu, KKM telah mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Khairuddin atas keingkaran berkenaan.

Sementara itu, Najib turut mencadangkan beberapa perkara susulan peningkatan mendadak kes baru Covid-19 akhir-akhir ini.

Ahli parlimen Pekan itu berkata kerajaan harus melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bagi kawasan terlibat dengan Kluster Meru dan melarang sekatan perjalanan di Semenanjung Malaysia bagi semua kenderaan bukan komersial selama dua minggu.

Dia juga menggesa moratorium pinjaman bank dilanjutkan secara pukal bagi seluruh Sabah selagi masih dalam PKPD.

“Galakkan semua majikan swasta untuk benarkan pekerja kerja dari rumah. Arahkan semua pekerja kerajaan dan syarikat berkait kerajaan untuk kerja dari rumah jika tidak diperlukan berada di pejabat.

“Benarkan premis-premis makanan untuk buka meja di kaki lima atau luar premis tanpa didenda sebab risiko penularan lebih rendah jika makan di luar (open air),” tambahnya.

Mengenai penutupan sementara sesi persekolahan, Najib berkata jika kerajaan enggan, Kementerian Pendidikan tidak harus menghukum pelajar yang tidak mahu ke sekolah kerana bimbang dengan penularan wabak itu.

Dalam perkembangan berasingan, Khairuddin pula meminta rakyat Malaysia berhati-hati dengan “laskar siber PH” yang didakwanya menanam kebencian rakyat pada kerajaan.

“Mereka menggunakan akaun Facebook palsu. Setiap seorang bergaji penuh ribuan ringgit. Setiap seorang mempunyai puluhan malah ratusan akaun palsu.

“Kalau akaun pun palsu tentulah segala status mereka juga adalah palsu penuh penipuan,” dakwanya.

Ahli parlimen Kuala Nerus itu juga menggesa pengamal media sosial supaya menghentikan tindakan laskar siber terbabit dengan membalas kenyataan mereka dengan perkataan “laskar siber dikesan” (cybertrooper detected).

Sumber : Malaysiakini

COMMENTS