Naik hingga ke tingkat 5, tapir sesat dalam ruang parkir hotel berjaya ditangkap

Naik hingga ke tingkat 5, tapir sesat dalam ruang parkir hotel berjaya ditangkap

Seekor tapir dilaporkan tersesat di tingkat lima sebuah bangunan hotel di Dataran Pahlawan, Melaka hari ini.

Memetik kenyataan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan di Facebook, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Melaka Tengah telah menerima panggilan dari orang awam berhubung perkara itu pada jam 9.04 pagi tadi bagi menangkap haiwan liar tersebut.

Dalam Operasi berkenaan, seramai lapan anggota bersama jentera FRT dari balai tersebut telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Sewaktu tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, PBK II Sofian Hassan berkata, pihaknya mendapati seekor haiwan liar yang merupakan jenis tapir telah tersesat masuk hingga ke dalam bangunan hotel itu dan berada di tingkat lima.

Gambar: Korporat JBPM

“Pasukan Bomba kemudiannya memohon bantuan daripada pihak Jabatan Perhilitan untuk menangkap haiwan liar tersebut.

“Operasi untuk menangkap haiwan liar tersebut dapat dilaksanakan hingga selesai dengan usaha dan kerjasama daripada pihak Jabatan Perhilitan dan kemudiannya menyerahkan haiwan itu kepada pihak Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” maklum Korporat JBPM.

Tapir Dilapor Sesat Di Tingkat Lima Hotel
Gambar: Korporat JBPM

Difahamkan, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan berlaku. Operasi itu selesai pada jam 2.30 petang setelah pihak bomba memastikan keadaan selamat sepenuhnya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama memaklumkan bahawa tapir yang dianggarkan seberat 250 hingga 290 kilogram itu bakal dipindahkan ke Zoo Melaka.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri, Mohd Firdaus Mahmood berkata pihaknya bersama dengan petugas bomba mengambil masa kira-kira empat jam dalam operasi menangkap dan memindahkan haiwan itu.

“Pihak Perhilitan telah membuat pemerhatian dan cuba mengesan tapir itu sejak dua minggu lepas yang dipercayai sesat dari habitat asal iaitu kawasan hutan di utara Melaka yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.

“Kita juga mendapat maklumat dan panggilan mengenai kewujudan tapir ini di beberapa tempat (sebelum ini) namun tidak berjaya dijejaki sehingga akhirnya ia ditemukan hari ini, sesat di tingkat lima, ia dipercayai naik ke tingkat atas mengikut laluan kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sumber: Korporat JBPM, Bernama