Murid cedera, van sekolah terbabas

Murid cedera, van sekolah terbabas

 

Seorang murid cedera manakala pemandu van sekolah tersepit apabila van sekolah berkenaan terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Bangsar, di sini, hari ini.

Kejadian pada jam 1.24 tengah hari itu dipercayai berlaku akibat pemandu van sekolah berkenaan mengalami serangan jantung.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Salmi Abdul Mukti berkata, satu jentera dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati van sekolah terbabit melanggar penghadang jalan.

“Kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu empat murid sekolah dan seorang warga emas yang juga pemandu van berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang murid berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu.

“Pemandu van berkenaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.