Mujur sempat kejar, CCTV berjaya rakam detik cemas budak nyaris digilis lori
Sebuah video menunjukkan detik cemas seorang kanak-kanak hampir dirempuh sebuah lori kontena di sebuah jalan raya pada Isnin, 14 Februari lalu tular di media sosial.
Dalam rakaman CCTV, aliran trafik di sekitar lokasi pada mulanya kelihatan normal. Namun tidak lama kemudian, sebuah motosikal berwarna biru dilihat keluar dari rumahnya dan hendak melintas jalan. Motosikal itu dinaiki seorang wanita dan seorang kanak-kanak.
Namun, tiba-tiba seorang kanak-kanak telah berlari ke arah jalan raya. Sebelum itu, kanak-kanak tersebut berhenti seketika di tepi jalan sambil memandang ke arah motosikal berwarna biru itu.
Perkara yang mengejutkan akhirnya berlaku, kanak-kanak itu tiba-tiba berlari ke arah jalan raya dan pada masa yang sama, sebuah lori kontena datang dari arah bertentangan.
Melihat kanak-kanak itu berlari, lori kontena itu terus menekan brek secara mengejut. Bagaimanapun, kanak-kanak itu bernasib baik selepas bapanya bertindak menarik tangan dan menyelamatkannya.
Tidak dapat dipastikan dimanakan insiden itu berlaku. Pun begitu, video berkenaan telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah ditonton lebih 58 ribu kali.