Muhyiddin terselamat, Mahkamah tangguh permohonan singkir speaker ke 18 Jan tahun depan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan keputusan permohonan untuk mencabar kesahihan pelantikan Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat.

Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azhar mengesahkan bahawa mahkamah menetapkan tarikh baru iaitu 18 Januari tahun depan untuk menyampaikan keputusannya.

Penangguhan tarikh keputusan yang dijadualkan hari ini, susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Perkara itu ditangguhkan,” kata Amer kepada Malaysiakini pagi tadi.

“Kami diberitahu oleh timbalan pendaftar (Mahkamah Tinggi) (bahawa 18 Januari telah ditetapkan sebagai tarikh baru).

“Kami mencadangkan (kepada mahkamah) 18 Januari untuk keputusan permohonan membatalkan saman kerana semua pihak boleh menghdiri pada tarikh itu,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan membatalkan saman ke atas Azhar dan tiga yang difailkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain.

Pada 7 November, kerajaan mengumumkan bahawa PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya yang akan dilanjutkan sehingga 7 Disember.

Selain Azhar, tiga defendan lain adalah dua timbalan speaker- Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon serta setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Tuntutan itu antara lain mempersoalkan kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, tetapi tidak mempertikaikan kesahihan Rashid yang juga memegang jawatan timbalan speaker.

Pada 23 Julai, plantif – Ahli Parlimen Langkawi Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula berkenaan.

Kelima-lima plaintif menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dewan Rakyat.

Mereka juga meminta perintah mahkamah bahawa berikutan pengosongan jawatan speaker yang sebelumnya dipegang oleh Mohamad Ariff Md Yusof, semua anggota Parlimen mesti diberi peluang untuk menamakan calon untuk jawatan tersebut.

Kelima-lima plaintif juga mahukan pengisytiharan bahawa jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai.

Sumber: Malaysiakini