Muhyiddin serah nama pengganti Zuraidah kepada PM

Muhyiddin serah nama pengganti Zuraidah kepada PM

 

 

Bersatu akan mengemukakan nama baharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan keluar parti itu hari ini.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah atas kuota parti itu.

Menurut Muhyiddin, kedudukan Zuraida sebagai ahli Bersatu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu baru-baru ini selepas terdapat laporan bahawa beliau terbabit secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti berkenaan.

Susulan itu, Muhyiddin berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu dihantar kepada Zuraida dan Ahli Parlimen Ampang itu juga sudah menjawab surat tunjuk sebab itu menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei, Isnin lalu.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti.

“Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Zuraida hari ini mengumumkan menyertai PBM kerana mempercayai perjuangan parti itu dan tertarik dengan enam prinsip terasnya.