Muafakat Nasional berantakkan di Kelantan

Umno Kelantan tampil meminta penjelasan dari PAS susulan kurang jelas dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob, yang disiarkan Harakahdaily dan Malaysiakini pada 2 Dis lalu.

Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim merujuk kepada kenyataan tersebut melontarkan soalan adakah PAS masih ingin meneruskan Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.

“Umno Kelantan kurang jelas sama ada PAS masih ingin meneruskan Muafakat Nasional atau sebaliknya.

“Sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengenepikan MN yang telah disepakati, Umno dan BN Kelantan bersiap-sedia untuk meletakkan calon di semua kawasan dewan undangan negeri dan parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam kenyataan media, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Ahmad (gambar, bawah) yang juga menteri besar Kelantan berkata, perjuangan politik melalui perpaduan Melayu tidak boleh mengenepikan Bersatu.

 

Memetik laporkan Harakahdaily, Adun Pasir Pekan itu menegaskan pergerakan parti Melayu mestilah tidak terhad hanya antara PAS dan Umno, tetapi perlu melibatkan parti lain termasuk Bersatu.

“Bagi (pendapat) saya, lebih besar (gabungan) lebih baik. (Umpama) satu berkas lidi, kalau dah besar banyak guna, lebih kuat.

“(Jadi) Bagi saya, lebih baik kita (parti-parti Melayu Umno, PAS, Bersatu dan lain-lain) bersama. Bukan sahaja dua parti (PAS dan Umno). Tapi (semua) parti-parti Melayu (wajib) bersama dalam satu usaha mengekalkan kuasa (pemerintahan Melayu-Islam),” katanya.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin yang secara terbuka berkata matlamat parti itu untuk menguasai semula kerajaan – yang kini diketuai Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) – dengan kerjasama PAS.

Kata Khaled, untuk mencapai matlamat menguasai kerajaan, kekuatan yang ada pada Umno dan PAS sudah memadai. 

Sementara itu, Akbar berkata Umno Kelantan akur terhadap sebarang keputusan presiden dan majlis tertinggi parti.

“Ini termasuklah keputusan berkaitan situasi di DUN negeri Perak dan juga kedudukan situasi kerajaan pusat.

“Umno Kelantan komited dan istiqamah kepada piagam MN yang telah termeterai di peringkat kebangsaan bersama PAS dan bersetuju sebagai agenda penyatuan Ummah,” jelasnya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554208