Mohon undang-undang berkait dadah dikaji semula, Ameng Spring anggap permintaan Yasin tidak wajar

Mohon undang-undang berkait dadah dikaji semula, Ameng Spring anggap permintaan Yasin tidak wajar

Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng beranggapan ‘permintaan’ penyanyi Yasin Sulaiman untuk mengkaji semula kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah tidak wajar.

Menurut sumber, Ameng yang pernah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan 10 sebatan atas kesalahan dadah pada 2011 mengatakan ganja tergolong dalam kategori dadah yang mengkhayalkan dan ia bukan tujuan perubatan untuk menyembuhkan penyakit.

 

 

Bahkan, Ameng turut menasihatkan orang ramai supaya pergi ke hospital dapatkan rawatan, bukan berubat menggunakan ganja.

“Kalau dia (Yasin) kata nak minta kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada, nak cakap apa kepada keluarga pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman sebelum ini? Dalam penjara tu ada beratus yang ditahan atas kesalahan sama dan sedang menanti hukuman. Apa perasaan mereka dan keluarga mereka?,” ujar Ameng.

“Macam saya yang sudah kena penjara dan 10 kali sebatan, apa perasaan saya? Buat yang kena gantung dan penjara seumur hidup, apa cerita?” katanya.

Dalam pada itu, dia berpendapat tindakan untuk melonggarkan hukuman sedia ada hanya akan menambahkan jumlah jenayah dan penagih dadah dalam negara. Malah, ada yang pernah dihukum atau kena sebatan juga tidak serik dengan perbuatan mereka dan masih buat jenayah.

Ameng menegaskan dia tidak bersetuju jika undang-undang dikaji semula kerana dia reda dengan hukuman yang dijatuhkan kepadanya yang sememangnya bersalah.

Sebelum ini, penyanyi nasyid atau komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menambah baik undang-undang kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 mengundang reaksi pelbagai pihak.