Misteri ratusan burung ‘jatuh’ dari langit & mati, penduduk dengar ada bunyi dentuman

Misteri ratusan burung ‘jatuh’ dari langit & mati, penduduk dengar ada bunyi dentuman

Misteri ratusan burung berjatuhan di atas jalan dilaporkan Khamis lalu di Wales, United Kingdom menimbulkan tanda tanya warga sekitar.

Kejadian yang dikatakan berlaku di Pembrokeshire itu dianggap ‘menyeramkan’ oleh penduduk setempat yang terpaksa menyaksikan bangkai-bangkai burung berselerak di atas jalan.

Memetik laporan Mirror, seorang wanita yang sedang dalam perjalanan di antara Waterston dan Hazelbeach yang terletak di Pembrokeshire turut melihat kira-kira 200 ekor burung jatuh dari langit.

Salah seorang lelaki yang tinggal di kawasan tersebut juga mengaku terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat tujuh ke lapan ekor burung jatuh di atas kereta miliknya, lapor Mirror.

Menurut WalesOnline, terdapat beberapa teori berkait fenomena ini. Diperkirakan burung-burung tersebut mungkin jatuh kerana terkena renjatan elektrik atau dikejar burung pemangsa.

Gambar: Mirror

Lapor Mirror, kejadian misteri ini sempat dikaitkan dengan salah sebuah loji gas asli cecair (LNG) terdekat. Namun hal ini dinafikan jurucakap syarikat berkenaan kerana loji beroperasi secara normal pada hari kejadian.

Insiden yang sangat jarang berlaku ini turut mendapat perhatian Majlis Daerah Pembrokeshire. Pihak Majlis dikatakan menerima panggilan sekitar jam 9 malam, 10 Februari lalu ekoran kejadian burung jatuh di Jalan Hazelbeach, Waterston.

“Para petugas telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati 200 ekor burung perling ditemui mati di atas jalan raya.

“Pihak berwajib telah membersihkan dan mengalihkan bangkai burung berkenaan dari lokasi kejadian.

“Masih tiada penyebab pasti akan kematian burung-burung ini. Namun, pihak kami telah melaporkan insiden berkenaan kepada Animal and Plant Health Agency (APHA),” jelas jurucakap Majlis memetik laporan Mirror.