Misteri Acap yang masih belum terungkai & 3 lagi individu yang hilang tak dapat dikesan
Masih segar di ingatan, kisah seorang pemuda bernama Mohammad Ashraf atau mesra disapa Acap yang dilaporkan hilang secara tiba-tiba pada 23 Mac 2019 yang lalu. Kisah ini sempat menggemparkan seluruh rakyat Malaysia apabila dia dikatakan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Perak. Menurut laporan, Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.
Acap yang berumur 29 tahun dan berasal dari Muar, Johor itu mempunyai sebuah keluarga kecil, iaitu seorang isteri dan seorang anak perempuan yang sentiasa menanti kepulangannya. Menurut laporan media, Acap sememangnya menggemari aktiviti-aktiviti lasak dan sudah menawan beberapa buah gunung yang terdapat di Malaysia. Dia yang juga bekerja sebagai juruteknologi makmal sentiasa selamat dan tidak pernah hilang sepanjang aktiviti lasak sebelum ini. Namun begitu, nasib tidak menyebelahinya pada hari larian tersebut apabila dia disahkan hilang.
Hilang Bagai Ditelan Bumi
Kehilangan Acap benar-benar misteri. Dengan umurnya yang sudah cukup dewasa, sangat menghairankan semua untuk hilang tanpa jejak. Dia bukanlah anak kecil atau orang kurang upaya (OKU) yang tidak tahu jalan keluar atau cara untuk meminta bantuan. Fizikal dan akalnya yang terlihat sempurna sudah cukup untuk membantunya keluar daripada hutan sekiranya tersesat, atau paling tidak, meninggalkan tanda kepada orang awam dan pihak berkuasa untuk mengesannya seperti tapak kaki, carikan baju, torehan di pokok dan bermacam lagi.
Tetapi kenyataan berkata lain. Sudah dua tahun Acap hilang “secara ghaib” sehinggalah hari ini. Segalanya bermula apabila dia menyertai sebuah kem larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Perak. Walaupun rata-rata sudah mengetahui kronologi peristiwa kehilangan Acap, tetapi ia tetap menjadi topik hangat untuk dibincangkan kembali. Memetik laporan daripada Sinar Harian kes kehilangan Acap selama sebulan adalah seperti berikut;
23 Mac 2019
- Sekitar jam 2 petang. mangsa dikesan tidak bersama rakan lain di garisan penamat satu program larian. Selepas usaha menghubunginya gagal, pihak penganjur melakukan carian di kawasan laluan peserta tetapi tidak menemui mangsa.
- Pada jam 1.09 pagi, rakan mangsa membuat satu laporan polis di Balai Polis Gopeng.
24 Mac 2019
- Hari pertama Operasi Menyelamat ( Op SAR) digerakkan dengan membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pintu Padang, Gopeng.
25 Mac 2019
- Petunjuk pertama iaitu botol air minuman mangsa ditemui di lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu di sekitar check point 6. Operasi mencari kemudian dipergiat dengan penyertaan 130 anggota pelbagai jabatan dan negeri.
26 Mac 2019
- Pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu, namun skop pencarian diperluas luar dari petunjuk sebelum ini hingga 10km termasuklah di kawasan puncak Bukit Batu Putih pada ketinggian 90 meter yang sukar dilalui guna jalan biasa.
27 Mac 2019
- Op SAR yang sepatutnya ditamatkan disambung sehingga Sabtu selepas mendapat arahan daripada Pejabat Menteri Besar Perak.
30 Mac 2019
- Polis menamatkan Op SAR selepas tujuh hari operasi digerakkan, namun usaha pencarian tetap diteruskan dalam skala yang kecil.
5 April 2019
- Semua masjid di Perak mengadakan solat hajat sejurus selesai solat Jumaat bagi mendoakan mangsa ditemui selamat
6 April 2019
- Operasi mencari Muhammad Ashraf masih diteruskan dalam skala kecil dan sehingga kini belum ada sebarang petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.
Sehingga tahun 2021, Acap masih belum ditemui, namun misi pencarian daripada pihak berkuasa terpaksa ditamatkan. Kini, ahli keluarga hanya mampu berharap dan berdoa agar anak muda itu segera ditemui dalam keadaan selamat.
Benarkah Acap Sudah Ke Alam Ghaib?
Pelbagai spekulasi cuba dilontarkan oleh masyarakat dalam merungkai misteri kehilangan Acap. Bermula daripada alam nyata sehinggalah alam ghaib, tetapi sejauh mana kebenarannya masih belum dapat dipastikan. Spekulasi-spekulasi ini timbul mungkin disebabkan perbezaan kepercayaan, ilmu dan pengalaman. Tanpa membuang masa, mari kita telusuri satu per satu spekulasi-spekulasi yang pernah wujud dalam kes ini.
Acap Telah Ditemui Tetapi Enggan Pulang?
Tular sebuah rakaman audio di media sosial yang mengatakan bahawa Acap sebenarnya sudah ditemui dan diajak pulang ke dunia nyata. Akan tetapi, beliau tidak mahu kerana kemungkinan sudah bernikah dengan bunian atas dasar suka sama suka.
“Kalau cerita betul Pak Din kena lapang dadalah. Tapi Wallhualam lah dikata. Rasanya ada dua orang..dua group yang akan bawa keluar dia nanti akan paksa dia keluar. Masalahnya suka sama suka Pak Din. Bukan buat benda terlarang ke tidak. Suka sama suka. Jadi dia tak nak keluar. Dia main tarik tali tau. Memang muncul depan kitorang sihat, sihat walafiat lagi si Acap ini. Memang dah ikhtiar. Memang dah bukak (pintu alam bunian) dengan izin Allah. Tapi yang jadi masalah sekarang ni acap tak nak balik. Mak dia sendiri bagitahu mak dia pernah mimpi Acap tak nak balik, 3 hari lepas. Kalau nak berunding dengan jin tu tak boleh sebab dia nak pengganti Acap. Tak tahu, kemungkinan dia ni dah bernikah. Dia dah berkahwin dengan jin. Mak dia kata paksa dia keluar. Kita rentap dia. Bukan tak boleh rentap. Memang betul-betul depan kita semua. Semua nampak ada jemaah yang ikut sekali. Nak bawak keluar macam mana Pak Din. Pintu kitorang semua dah bukak. Rumah kitorang dah jumpa. Dekat alam sana, dia nampak semua makanan sedap tapi alam sini sebenarnya dia makan siput. Yang dia makan tu siput. Kitorang siap jumpa kulit siput tu dekat tempat dia apa semua. Jin tu siap tunjuk ini makanan dia. Tapi dekat sana dia tak tahu yang dia makan tu siput. Dia tak tahu yang dia duduk tu celah-celah batu celah-celah kayu. Tapi bukan alam kitalah.”
Jangan Naik Ke Batu Putih, Ada Kenduri Bunian – Penduduk Kampung
Terdapat juga versi lain mengenai kehilangan Acap ini. Salah seorang warga kampung di situ menyuarakan isi hati beliau seolah tidak menggemari kedatangan beratus-ratus orang pawang ke lokasi kejadian. Mereka dikatakan hanya ingin tunjuk pandai dan telah membelakangi orang kampung. Tambah beliau lagi, orang kampung sebenarnya sudah memesan jangan naik sampai ke Bukit Batu Putih kerana ada kenduri yang sedang berlangsung di situ. Tetapi, mereka degil termasuklah Acap. Terdapat tiga orang yang berurusan dengan pemegang kawasan itu (bunian) dan mereka rapat dengannya. Salah seorang daripada mereka gemar meminjam pinggan mangkuk manakala seorang lagi dikatakan memang bersahabat dengan bunian. Acap sebenarnya selamat tetapi disebabkan ramai orang datang untuk menunjuk kehebatan setelah mendengar tawaran sebanyak RM70 ribu sekiranya berjaya menemui Asyraf maka dia tidak berjaya dikeluarkan.
Misi Mencari Acap
Bantuan daripada pelbagai arah telah dilakukan bagi menemui anak muda itu. Segala usaha telah dikerah, setiap pelusuk hutan juga telah diredah untuk mencari keberadaannya. Bermula dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba sehinggalah melibatkan penduduk kampung dan pengamal perubatan.
Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
Sudah menjadi sebahagian daripada prosedur apabila berlaku kes orang hilang, pihak berkuasa seperti bomba pasti akan turun padang untuk melakukan pencarian. Lebih-lebih lagi jika melibatkan kawasan-kawasan yang berisiko seperti hutan, gunung, bukit dan laut. Bomba dan Penyelamat antara pihak berkuasa yang tidak putus-putus menabur usaha untuk mencari petunjuk dan keberadaan Acap. Bermula dari hari pertama kes ini berlaku sehinggalah suatu jangka masa yang tertentu. Prosedur pencarian pada hari pertama bermula seperti biasa dan semakin hari semakin giat dilakukan dengan menggunakan berbagai teknologi.
Menurut kenyataan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Yunus Abu dalam akhbar berita Sinar Harian, pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu dalam usaha mencari seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang, sejak Sabtu lalu. Skop pencarian pada hari ketiga operasi, hari ini telah diperluaskan, luar dari kawasan petunjuk sebelum ini.
Menurut beliau, pencarian dimulakan di tempat mangsa bermula hinggalah lokasi terakhir pertandingan tersebut tamat. Beliau optimis bahawa mungkin dengan cara ini pihaknya akan menemui petanda lain selain botol air milik mangsa. Pasukan bomba kelihatan sangat komited dalam misi pencarian Acap sehinggakan mereka menggunakan tali untuk memantau kawasan bukit kerana keadaannya yang lereng berbatu dan curam. Dua kumpulan telah ditugaskan untuk menjalankan kaedah tersebut. Operasi mencari kemudiannya digerakkan bermula di check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 12km dari garis mula.
Misi Pencarian Hari Ke-5
Memetik kenyataan Yunus Abu dalam temu bual bersama Astro Awani, masih belum ada petunjuk baharu selepas lima hari Mohammad Ashraf Hassan dilaporkan hilang, namun operasi tetap diteruskan. Operasi hari kelima difokuskan terhadap semua laluan pelari bemula check point 10 hingga ke garisan penamat. Tambah beliau, pencarian turut melibatkan pegawai bomba dan pasukan bomba sukarela. Selain itu, pihaknya juga masih mnggunakan khidmat Unit K9 (anjing pengesan) bomba sebanyak lima ekor.
Majlis Solat Hajat Oleh Penduduk Kampung Di Masjid
Penduduk kampung turut menabur bakti dalam usaha mencari keberadaan Acap. Dengan berbekalkan ilmu agama, mereka mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat. Menurut laporan Sinar Harian, semua masjid di Perak telah mengadakan solat hajat pada 5 April 2019 sebagai salah satu ikhtiar dengan memohon kepada Allah SWT untuk memudahkan pihak penyelamat mencari mangsa. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara ini diputuskan selepas pertemuan diadakan dengan JBPM.
Tambah beliau, solat hajat dilaksanakan selepas menunaikan solat Jumaat. Pada asalnya, pihak JBPM meminta masjid di daerah Kampar sahaja untuk mengadakan solat hajat itu tetapi beliau berfikir semua masjid di Perak boleh turut serta untuk mendoakan kemudahan misi pencarian.
Terdapat hampir 1000 jemaah yang menyertai solat sunat hajat di Majis Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri) tersebut. Solat sunat hajat yang dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Muhammad Ali Mohamad Noh.
Ramai Rupanya Yang Hilang Secara Misteri
Bukan hanya Muhammad Ashraf yang dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Terdapat juga kes lain yang pernah menjadi bualan masyarakat dan mengejutkan ramai sebelum ini. Ada antara mereka yang hilang, berjaya ditemui dengan selamat. Ada pula yang terus “lesap” sehingga ke hari ini.
Disorok Puteri Bunian Berpurdah – Azarul Mukhriz
Kes ini pernah tular pada tahun 2017, di mana seorang pemuda bernama Mohd Azarul Mukhriz dilaporkan hilang selama seminggu. Beliau yang berusia 20 tahun itu dikatakan hilang pada 22 Januari 2017 ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih. Beliau berjaya ditemui oleh pasukan sukarelawan penyelamat pada 11:30 pagi 28 Januari 2017 di trek antara Broga dengan Gunung Tokwan. Apa yang menghairankan adalah keadaan beliau yang selamat dan tidak mempunyai luka parah walaupun tanpa sebarang bekalan makanan dan alat kelengkapan hutan sewaktu hilang di bukit berkenaan. Beliau hanya dimasukkan ke wad akibat dehidrasi.
Kisahnya menjadi semakin tular apabila Azarul mendakwa bahawa beliau sebenarnya telah disorok oleh puteri bunian. Segalanya bermula pada waktu senja apabila beliau ternampak seorang budak kecil lalu cuba untuk mengikuti jejaknya seolah-olah telah dipukau. Tambahnya lagi, budak kecil itu memakai purdah dan berjubah putih.
Beliau terus mengikutinya sehingga sampai ke dalam sebuah gua yang lapang, luas dan berpasir. Menurut Azarul, gua tersebut merupakan sempadan antara dunia nyata dengan dunia ghaib. Sekiranya dia melewati sempadan tersebut, maka dia akan termasuk ke perkampungan alam bunian yang terdapat banyak rumah dan mungkin akan hilang untuk selamanya.
Sepanjang di dalam gua itu, dia telah dijaga oleh keluarga bunian yang terdiri daripada ibu dan bapa serta dua orang anak perempuan. Kesemuanya memakai purdah dan berjubah putih. Azarul turut menceritakan rutin harian keluarga bunian itu. Pada waktu pagi, mereka akan solat dan membaca Al-Quran. Saiz Al-Quran itu sangat besar malah lebih besar daripada manusia. Jika terdapat kesalahan sewaktu membacanya, Al-Quran itu akan langsung menegur si pembaca.
Anak perempuan bunian tersebut ada mengajak Azarul untuk berkahwin tetapi dia menolak secara baik. Bunian tersebut kelihatan marah. Azarul mengatakan bahawa dia masih mengingati ibu bapanya dan hendak pulang ke rumah. Pada mulanya, usaha untuk pulang gagal. Dia pusing merata-rata tempat tetapi tetap berada di tempat yang sama. Sehinggalah pada hari terakhir, seekor ular jatuh ke atas badannya. Ular tersebut berbicara kepada Azarul “cahaya matahari suluh mata, ikut cahaya matahari”. Itu adalah petunjuk untuk Azarul keluar daripada gua itu.
Hilang Sejak Tahun 1996 – Song Sheng
Seorang kanak-kanak pernah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia pada waktu itu ketika dia dilaporkan hilang secara tiba-tiba pada tahun 1996. Kes ini masih segar di ingatan walaupun sudah 25 tahun lamanya. Kisah kehilangan kanak-kanak ini pernah dikongsikan oleh Zulkarnain Zakaria menerusi akaun Facebook miliknya dua tahun yang lalu.
Song Sheng disahkan hilang pada 15 Januari 1996 ketika beliau sedang menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) untuk pulang ke rumah. Lokasi kejadian ini adalah di Taman Rasah, Klang. Bermacam spekulasi dilontarkan mengenai kehilangannya. Ada yang mendakwa bahawa dia telah dilarikan oleh sindiket lalu dijadikan pengemis di negara Thailand. Tetapi kalau pun benar, mengapa sampai detik ini tidak ada pihak berkuasa di negara berkenaan yang berjaya mengesannya? Ada juga teori yang mengatakan bahawa beliau telah dibawa ke alam lain, namun masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Gan Kim Choo dan isterinya Tin Kuwi Diun yang merupakan ibu bapa kepada Song Sheng telah melakukan pelbagai cara untuk menemui anaknya termasuklah menggunakan khidmat 80 orang bomoh, namun kesemuanya gagal. Mereka dikatakan telah menghabiskan wang sebanyak RM40,000. Sehingga tahun ini (2021), Song Sheng masih belum ditemui.
Jatuh Di Pangkal Pokok Jambu dan Terus Ghaib – Zulaiha
Selain Song Sheng, kisah seorang kanak-kanak perempuan yang hilang secara misteri turut dikongsikan oleh Zulkarnain Zakaria. Menurutnya, kanak-kanak bernama Zulaiha Muhamad itu dilaporkan hilang di Kampung Gantuk, Mentakab, Pahang pada 28 November 1998. Kes ini dikatakan lebih pelik berbanding sebelum ini kerana kronologi peristiwa kehilangannya yang tidak masuk dek akal.
Semasa kejadian, Zulaiha yang berumur enam tahun itu sedang bermain-main dengan adiknya yang dikenali sebagai Muhammad Nur Rahman. Mereka bermain di bawah pokok jambu mawar di halaman rumah. Ibu mereka, Kamariyana Osman pula sedang sibuk menyapu sampah. Tidak lama kemudian, Kamariyana meninggalkan mereka sebentar dan pergi ke tandas kerana sakit perut. Sekembalinya ke halaman, beliau mendapati Zulaiha sudah tidak ada di situ.
Adiknya, Muhammad Nur berlari keluar dari sebalik pokok sambil menjerit-jerit. Dia menangis dan memberitahu bahawa kakaknya itu telah jatuh di pangkal pokok jambu tersebut. Ibunya lantas mencari-cari di sekeliling pokok itu, namun gagal menemui Zulaiha. Usaha mencari Zulaiha segera dilakukan. Pihak polis menghantar anjing pengesan, beberapa buah bot dan helikopter untuk menyusui Sungai Semantan yang terletak 200 meter dari rumah Zulaiha tetapi masih tidak berjaya mengesan keberadaannya. Selepas hampir dua minggu lebih operasi pencarian dilakukan, ia terpaksa dihentikan.
Apa sebenarnya yang terjadi? Bagaimana Zulaiha boleh ghaib secara tiba-tiba dalam waktu yang begitu singkat? Kalau setakat jatuh, mengapa Zulaiha tiada di situ? Malah adiknya sendiri yang merupakan saksi kejadian tidak dapat memberikan jawapan. Kebarangkalian Zulaiha lemas di sungai pula adalah tipis. Jika benar sekalipun, mengapa tidak ada seorang jiran pun yang melihat Zulaiha sedangkan ia memerlukan kira-kira 10 minit untuk ke sana. Tambahan pula, Zulaiha tidak pernah pergi ke sungai tersebut dan jika dia mahu ke situ, tentulah dia pergi bersama adiknya.
Pihak polis sendiri telah menafikan bahawa Zulaiha pergi ke Sungai Semantan. Hal ini disebabkan, tidak ada sama sekali kesan tapak kaki, selipar mahupun kesan tergelincir di tebing sungai. Jika benar lemas, mengapa mayatnya masih belum dijumpai? Kes kali ini benar-benar pelik dan tidak masuk dek akal. Sukar untuk mencari jawapan yang tepat.
Teori kedua dalam kes ini ialah dia diculik. Teori ini juga mendatangkan banyak kemusykilan. Ini kerana, pada pagi dia dilaporkan hilang itu, terdapat ramai jiran yang sedang berbual dan mengemas halaman. Mereka tidak menyaksikan kejadian tersebut dan tidak mendengar langsung suara jeritan, raungan atau kesan pergelutan. Persolan lain yang timbul ialah mengapa Muhammad Nur tidak diculik juga, malahan adiknya itu memberitahu bahawa memang tidak ada orang yang membawa Zulaiha pergi.
Teori seterusnya ialah Zulaiha telah termasuk ke alam lain, iaitu alam ghaib. Dia dibawa masuk ke alam tersebut oleh makhluk halus yang tinggal di pangkal pokok jambu mawar tempat dia dan adiknya bermain. Walaupun kedengaran seperti tidak masuk akal, tetapi ayah Zulaiha sendiri, iaitu Muhamad Petah mendakwa bahawa memang berlaku kejadian-kejadian pelik sebelum Zulaiha hilang. Pertama, anaknya, Siti Rofeah pernah terhidu bau wangi di pangkal pokok tersebut dan bau itu melekat pada badannya selama beberapa hari.
Keesokannya harinya, seekor kucing peliharaan mereka enggan masuk ke rumah kerana hendak tidur di bawah pokok tersebut. Tidak hanya itu, seorang bomoh yang cuba mencari Zulaiha pula tiba-tiba berasa tubuhnya bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib ke arah pangkal pokok jambu itu. Puas dia mengelak hingga tubuhnya terpelanting. Beliau percaya bahawa di situlah tempat Zulaiha ditarik masuk alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kini, sudah 23 tahun Zulaiha hilang secara misteri dan masih belum terungkai.
Harapan Masih Menebal
Kehilangan orang yang disayangi tanpa khabar berita sememangnya menyeksakan batin. Pelbagai persoalan yang muncul dalam minda membuatkan sesetengah mereka yang diuji dengan perkara sebegini sukar untuk menerima kenyataan. Adakah dia masih hidup? Bagaimana keadaannya, sihat atau tidak? Ke mana dia menghilang sebenarnya? Namun begitu, harapan untuk Ashraf kembali ke pangkuan masih menebal dalam diri ahli keluarganya.
Walaupun pada hakikatnya, bukan mudah untuk mengharapkan seseorang yang telah hilang kembali hadir dalam kehidupan kita. Lebih-lebih lagi jika terdapat dakwaan bahawa mangsa telah termasuk ke alam ghaib, namun itu bukanlah sebuah pengakhiran. Yakin dengan takdir Allah dan tidak henti berdoa merupakan senjata yang sangat ampuh untuk menghidupkan kembali jiwa yang sempat rapuh kerana ujian ini. Tidak ada satu makhluk pun yang terlepas daripada pengawasan Yang Maha Esa. Semua akan kembali kepada-Nya termasuk mereka yang pernah hilang. Mungkin sukar untuk bersua lagi di dunia tetapi di negeri akhirat akan dipertemukan kembali. In Shaa Allah
Perkembangan Terkini Kes Kehilangan Acap
Sudah memasuki tahun 2021, namun tidak banyak perkembangan terkini mengenai kes kehilangan Acap ini. Hanya melalui kiriman abangnya di Facebook pada 3 Mac lalu yang memberitahu tempoh masa adiknya menghilang. Semoga ada rezeki untuk bertemu.
Rujukan
(1) Kronologi Khilangan Acap, 2019, https://www.sinarharian.com.my/article/22218/INFOGRAFIK/Kronologi-kehilangan-Acap
(2) Selepas setahun hilang, usaha mencari Acap diteruskan – JBPM, 2020, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/selepas-setahun-hilang-usaha-mencari-acap-diteruskan-jbpm-260185
(3) Operasi mencari pelari hilang belum ada petunjuk baharu, 2019, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/operasi-mencari-pelari-hilang-belum-ada-petunjuk-baharu-202422
(4) Selain Acap, Berikut Adalah Kisah Mereka Yang Pernah Hilang, Ada Yang Berkait Dengan Kisah Misteri, 2019, https://siakapkeli.my/2019/04/03/selain-acap-berikut-adalah-kisah-kisah-mereka-yang-pernah-hilang-ada-yang-berkait-dengan-kisah-misteri/?fbclid=IwAR3VFfPa49gfS8UXO4AuSLPV_pD0hTvVBkVn_yQ4mq6fNftkhGxO_QT9yiU
(5) Sudah Tiga Hari, Ashraf Belum Ditemui, 2019, https://www.sinarharian.com.my/article/20246/BERITA/Tragedi/Ashraf-belum-ditemui
(6) Hilang Ketika Tunggu Bas, Lenyap Depan Rumah, Benarkah Kehilangan Song Sheng, Zulaiha Dan Acap Berkait Dengan Alam Ghaib?, 2019, https://siakapkeli.my/2019/05/29/hilang-ketika-tunggu-bas-lenyap-depan-rumah-benarkah-kehilangan-song-sheng-zulaiha-dan-acap-berkait-dengan-alam-ghaib/
(7) Solat Hajat Untuk Acap Esok, 2019, https://www.sinarharian.com.my/article/21754/EDISI/Perak/Solat-hajat-untuk-Acap-esok
(8) Kehilangan Ashraf: Hampir 1000 sertai solat hajat, 2019, https://www.sinarharian.com.my/article/21897/EDISI/Perak/Kehilangan-Ashraf-Hampir-1000-sertai-solat-hajat
(9) GHAIB: Acap, Song Sheng, Zulaiha, 2019, https://www.facebook.com/zulkarnain.zakaria.547/posts/2428072833880614
(10) Facebook Denny Lang, 2021, https://www.facebook.com/DennyLangMeteora84