MIC tempelak MB Kedah, cakap takde fakta

MIC Kedah hari ini mendedahkan beberapa keping gambar dan surat rasmi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai bukti peruntukan disalurkan kepada rumah ibadat ketika pemerintahan BN di negeri tersebut.

Ini selepas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor meminta pihak yang mengecam keputusan kerajaan negeri tidak memperuntukkan dana khas kepada rumah ibadat bukan Islam supaya menunjukkan bukti bantuan seumpama itu pernah disalurkan sebelum ini.

“Saya berasa pelik dan kecewa dengan menteri besar Kedah yagn tidak membuat home work sebelum membuat kenyataan.

“Dia kata tidak pernah ada kerajaan negeri atau pusat memberi peruntukan khas kepada kuil. Nampaknya, dia tidak seperti pemimpin Umno di mana tidak pernah mempunyai sikap mengambil tahu kebajikan masyarakat Cina dan India.

Terdahulu, MIC Kedah berkongsi beberapa keping gambar kepada Malaysiakini yang dipercayai diambil dalam majlis penyerahan cek untuk sekolah Tamil, kuil dan NGO negeri Kedah.

Gambar yang ditunjukkan S Ananthan sebagai bukti penyerahan cek sekolah Tamil, kuil dan NGO di Kedah.

 

Majlis itu diadakan pada 24 Januari 2018, dirasmikan oleh bekas menteri besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah.

Manakala, surat rasmi dari JPM bertarikh 11 Disember 2017 memaklumkan bahawa perdana menteri (bekas) Najib Abdul Razak meluluskan dana RM480,000 untuk penyeleggaraan dan baik pulih rumah ibadat masyarakat India dan NGO negeri Kedah.

Gambar yang ditunjukkan S Ananthan sebagai bukti penyerahan cek sekolah Tamil, kuil dan NGO di Kedah.

 

“Saya percaya kami telah tunjukkan bukti diminta oleh MB Kedah. Dan nasihat saya kepadanya jika nak buat kenyataan biar berdasarkan fakta.

“Lepas ini kita nak lihat apa lagi alasan dia (MB Kedah) nak bagi,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Sanusi mencabar MIC untuk menunjukkan bukti terdapat peruntukan khas kepada kuil di negeri Kedah.

“Bantuan kepada kuil, boleh tunjukkan kepada saya di mana, bila, tahun berapa, negeri atau pusat telah meluluskan peruntukan kepada kuil-kuil dan rumah ibadat.

“Kalau ada kita boleh tunjuk contoh, memang tidak ada,” kata Sanusi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada 25 November.

Surat dari Jabatan Perdana Menteri yang ditunjukkan S Ananthan sebagai bukti.

 

Sumber: Malaysiakini