Messi akan pindah ke Manchester City?

Jendela perpindahan Januari sudah dibuka dan pasukan kini sedang memburu pemain untuk memperkasa pasukan masing-masing.

Berikut adalah antara tujuh perpindahan yang mungkin terjadi bulan ini.

1. LIONEL MESSI (Barcelona ke Manchester City)

Manchester City dilihat sebagai pasukan pilihan untuk pemain itu pada musim panas ini, namun mendapat tentangan Paris Saint Germain (PSG) yang mahukan pemain itu secara percuma.

Bagaimanapun, jika ada pasukan yang berani mengeluarkan jumlah yang besar, ia pasti dapat menggoda Messi meninggalkan Barcelona dan menyesuaikan diri dengan pasukan baharu.

2. DELE ALLI (Tottenham ke PSG)

Pemain England ini dipinggirkan Jose Mourinho dan kurang mendapat minit untuk beraksi pada musim ini.

Dengan PSG bakal terlepas Messi ke Manchester City, kemasukan pengendali baharu PSG, Mauricio Pochettino akan memudahkan lagi laluan Alli untuk keluar dari ‘neraka’ di London Utara.

3. CHRISTIAN ERIKSEN (Inter Milan ke PSG)

PSG mungkin menyambar satu lagi bekas pemainnya, Eriksen yang kini bergelut di Inter Milan.

Jika Pochettino dilantik sebagai pengendali baharu PSG, Eriksen dikatakan turut berminat untuk ke PSG untuk terus mengukuhkan reputasi sebagai gergasi bola sepak Perancis.

4. DECLAN RICE (West Ham ke Chelsea)

Selepas melabur lebih 220 juta pound (RM1.2 bilion), Chelsea dijangka terus berbelanja selepas mengintai bekas pemain akademinya, Rice.

Rice menjadi sasaran utama The Blues pada Januari ini dan tidak akan menunggu sehingga musim panas nanti untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu.

5. ISCO (Real Madrid ke Arsenal)

Karier Isco tampak berakhir seperti Gareth Bale di bawah Zinedine Zidane dan banyak kali dikaitkan dengan perpindahan ke luar dengan minat yang ditunjukkan Liverpool, Spurs dan Chelsea sebelum ini.

Arsenal kini melihat pemain itu sebagai pemain yang dapat membantu menambah kreativiti pasukan itu, namun berdepan tentangan daripada Everton dan Sevilla.

6. DIEGO COSTA (Atletico Madrid ke Arsenal)

The Gunners turut dikatakan mengintai bekas penyerang Chelsea itu selepas dia menamatkan kontraknya bersama Atletico sekali gus menjadi ejen bebas.

Costa kini mencari pasukan yang boleh memberikan minit permainan dan mungkin tertarik untuk kembali ke England namun Arsenal mungkin perlu memberikan tawaran yang sukar ditolak penyerang itu.

7. ERIC GARCIA (Manchester City ke Barcelona)

Pemain ini sudahpun bersetuju dengan terma peribadi bersama Barcelona dan boleh melengkapkan perpindahannya kembali ke Nou Camp, bulan ini.

Garcia yang meninggalkan Barcelona pada 2017 jelas mahu kembali ke Sepanyol selepas enggan menandatangani kontrak baharu bersama Manchester City.

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/01/771110/messi-ketuai-7-perpindahan-mega?fbclid=IwAR3eMeW7mJ-TeugIMcGxRd3Aj9wMCxkUPpUL44TWf5VJTV80tVdC_V4krPs