Meski baru setahun jagung Bersatu dah lahirkan 2 PM, kata Wan Fayshal dengan bangga

Bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin, Pemuda Bersatu (Armada) menzahirkan rasa bangga mereka apabila parti itu berjaya melahirkan dua perdana menteri meskipun mereka baru berusia setahun jagung.

Semasa menyatakan rasa gembira itu, Ketuanya Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengaggap presidennya sebagai seorang pemimpin yang penuh kaliber.

“Jika bertempur di medan juang, dialah panglimanya. Jika dilambung ombak di lautan, dialah nakhodanya.

“Di bawah karisma kepimpinannya, parti kita yang baru setahun jagung ini berjaya memecahkan monopoli dan melahirkan dua perdana menteri.

“Tidak lain dan tidak bukan (beliau ialah) yang amat berhormat Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, presiden kita!” laungnya disambut tepukan ahli parti yang menonton secara dalam talian.

Dia berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Sesuai dengan keadaan semasa majlis berkenaan diadakan secara maya dengan perwakilan di setiap negeri dikumpulkan di satu lokasi khas.

Untuk rekod Bersatu ditubuhkan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu oleh beberapa bekas pemimpin kanan Umno. Muhyiddin dilantik sebagai presiden manakala Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai pengerusi.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada 2018 Mahathir dilantik sebagai perdana menteri.

Perlembagaan Bersatu menetapkan pengerusi adalah pemimpin tertinggi parti berkenaan. Bagaimanapun pertikaian dalaman menyaksikan Mahathir tersingkir dan sehingga kini jawatan pengerusi dipangku Muhyiddin.

Kata Wan Ahmad Fayhsal memang menjadi misi utama Bersatu untuk menawarkan kepemimpinan yang berwibawa, pemerintahan yang baik, demokrasi yang sihat dan negara yang adil dan saksama demi kebahagian rakyat.

Dia Fayhsal turut menyingkap Belanjawan 2021 yang lulus untuk bacaan kali kedua pada Khamis lalu di Dewan Rakyat.

Memanjatkan kesyukurannya, timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, berbekalkan kejayaan itu, dia yakin, bukan saja Bersatu mampu memenangi PRU akan datang, bahkan mampu mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Jika kita kekalkan momentum hari ini, percayalah tuan-tuan, kita akan berjaya di pilihan raya akan datang, malah kembali dengan majoriti dua pertiga yang tidak pernah dicapai sejak hampir dua dekad!” katanya lagi.

Kali terakhir dua pertiga kerajaan memegang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat adalah pada PRU 2004, di mana BN merangkul 90 peratus kerusi.

Bagaimanapun, sejak PRU 2008, bilangan kerusi yang dipegang BN merosot, sebelum tumpas buat pertama kali dalam sejarah kepada PH.

Untuk rekod Muhyiddin kini menjadi perdana menteri dalam keadaan sokongan yang diterimanya di parlimen sangat tipis dan dipersoalkan.

Sumber: Malaysiakini