Menteri terlibat rasuah, salah guna kuasa akak dipecat serta merta – Anwar Ibrahim

Menteri terlibat rasuah, salah guna kuasa akak dipecat serta merta – Anwar Ibrahim

Mana-mana menteri di dalam Kerajaan Perpaduan yang didapati terlibat dengan budaya rasuah atau salah guna kuasa akan dipecat serta-merta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya budaya itu wujud dalam kerajaan pimpinannya.

“Saya sudah beritahu kepada rakan-rakan jemaah menteri yang saya pilih, yang pertama, untuk soal tata kelola maknanya tiada rasuah.

“Saya juga sudah bercakap dengan ketua-ketua parti komponen, kalau ada semasa pentadbiran saya sebagai perdana menteri kes seperti ini (rasuah), saya minta pecat mandat (sebagai menteri) serta merta,” katanya ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah di Putrajaya hari ini.

Menurutnya peringatan itu bukan bersifat politik sebaliknya merupakan keyakinan beliau untuk membebaskan negara daripada rasuah.

Anwar mengingatkan setiap ahli politik untuk membuktikan arena politik bukan platform bagi menunjukkan kekayaan serta kehebatan kuasa yang hanya akan menyebabkan pertikaian kewibawaan agama Islam.

“Saya mahu buktikan ada anak Melayu gunakan kuasanya untuk membela Islam, saya mahu buktikan ada anak Melayu guna prinsip rahmah dan keadilan untuk ditegakkan di Malaysia.

“Kita kena sentiasa waspada agar perpecahan dapat dielakkan,” katanya.

Hutang negara lebih RM1 trilion

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau juga akan memastikan badan-badan seperti Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa telus dalam menjalankan tugas, selain tiada siapa boleh terlepas daripada hukuman yang diputuskan mahkamah.

Perdana menteri berkata beliau diberikan mandat mentadbir negara dalam keadaan hutang melebihi RM1 trilion yang memerlukan tota kelola yang baik.

“Saya diberi mandat dalam hutang yang lebih RM1 triilion daripada agensi yang diteliti di mana bocor dan tirisnya dan ini bukan fitnah.

“Saya kerja kuat teliti fail-fail dan beberapa projek kita tangguhkan, teliti semula atau batalkan…kalau ingin belanja kita kena teliti, ini soal tadbir urus,” katanya.

Justeru katanya soal mengurus negara harus dilaksanakan dengan ketertiban dan mengikut peraturan yang betul.

“Saya ingat umpamanya…diluluskan dengan spontan projek tebatan banjir dan syarikat-syarikat dipertikai tidak dijawab.

“Saya minta ditangguhkan dan diteliti semula. Saya akan ke Kementerian Kewangan esok untuk teliti perkara itu,” katanya menambah isu kelulusan proiek tebatan banjir itu benar dan bukannya fitnah.

Pada 6 Dis lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Sementara itu, beliau mahukan peranan institusi Islam tradisional seperti maahad tahfiz dan pondok terus diperkasakan sebagai benteng pertahanan negara.

“Pesantren dan pondok kena hidupkan semula supaya jadi benteng pertahanan bukan pusat timbulkan kekacauan, kegalauan atau kekeliruan pemikiran,” katanya.

– Bernama