Menteri Kesihatan kata tiada PKP buat masa ini

Menteri Kesihatan kata tiada PKP buat masa ini

 

Kementerian Kesihatan mengakui Malaysia hari ini menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang semakin mendadak.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan langkah berkurung atau sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipertimbangkan, buat masa ini.

“Kementerian kesihatan harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP.

“(Buat masa ini) kita tak cakap pasal PKP… untuk sekarang ini tak ada (rancangan untuk melaksana semula) PKP,” katanya pada sidang media mengenai situasi Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Sepanjang tempoh 10 hingga 16 Disember, jumlah kes Covid-19 ialah 20,696, meningkat 62.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata 97 peratus kes adalah dikategorikan sebagai ringan.

Terdapat juga 28 kematian, dengan 85 peratus membabitkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, manakala 93 peratus daripada mereka pula mempunyai komorbiditi.

Dr Dzulkefly juga memaklumkan bahawa fasiliti kesihatan ketika ini sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

“Kita sedia termasuk dengan (fasiliti kesihatan) ATM, swasta dan NGO (badan bukan kerajaan),” katanya.

Semasa sesi soal jawab, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata jumlah kes Covid-19 dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang, sejajar dengan trend global.

Bagi pembekalan vaksin Pfizer versi terkini, Dr Muhammad Radzi berkata proses perolehan masih diteruskan.

“Prosesnya akan ambil masa dan bekalan  agak susah,” katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa stok vaksin Malaysia pada masa ini masih boleh memberi perlindungan terutama bagi mereka yang mempunyai komorbiditi.

Katanya, mereka yang ingin mendapatkan suntikan penggalak boleh terus ke mana-mana fasiliti kesihatan yang menyediakannya.