Menteri Agama dakwa kerajaan akan beri laluan pinda Akta 355

Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata kerajaan akan memberi laluan kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 , atau lebih dikenali sebagai Akta 355 sebelum melaksanakan penyeragaman undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri.

Jelas Zulkifli, ini kerana pindaan Akta 355 akan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan menghukum di bawah undang-undang jenayah syariah negeri.

“Penyeragaman undang-undang jenayah syariah tersebut masih tidak dapat dilaksanakan buat masa ini untuk memberi laluan kepada pindaan Akta 355 yang akan meningkatkan bidang kuasa membicara dan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah yang akan memberi kesan secara langsung terhadap hukuman-hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang jenayah syariah tersebut,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat bertarikh 5 Nov.

Dia berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Dewan Rakyat oleh Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu – Sabak Bernam) yang bertanyakan mengapa dan setakat mana perbezaan undang-undang syariah di antara negeri-negeri di negara ini.

Mohd Fasiah juga bertanya apakah langkah kerajaan bagi menyeragamkan undang-undang syariah di negara ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan umat Islam dan melicinkan serta memperkemaskan pentadbiran undang-undang syariah.

Jelas Zulkifli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengemuka cadangan untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah kepada Majlis Raja-Raja dan ia telah diberi perkenan.

Untuk rekod, pada Julai tahun lalu, menteri agama ketika itu, Mujahid Yusof turut memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja secara asasnya bersetuju dengan langkah Jakim untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah di negara ini.

Mujahid ketika itu berkata ia dijangka dapat direalisasikan tahun ini.

Sementara itu, Zulkifli dalam jawapan lisannya berkata, kerajaan melalui Jakim juga telah membentangkan cadangan untuk menyeragamkan undang-undang syariah lain termasuk undang-undang jenayah syariah dan undang-undang profesion guaman syarie kepada negeri-negeri melalui Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas negeri-negeri.

“Cadangan tersebut telah dipersetujui oleh negeri-negeri. Cadangan tersebut juga telah dibentangkan oleh Jakim dalam Mesyuarat MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) dan telah dipersetujui oleh MKI,” katanya.

Pada April 2017, kerajaan BN membenarkan anggota parlimen Marang merangkap Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membentangkan usul persendirian bagi meminda Akta 355. Sehingga kini RUU tersebut masih belum dibahaskan.

Memandangkan PAS kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, parti itu berhadapan gesaan supaya meneruskan usul RUU itu.

Untuk rekod, Abdul Hadi menggesa pindaan Akta 355 bagi meningkatkan hukuman Mahkamah Syariah berhubung kesalahan jenayah.

Sumber: Malaysiakini