Menjerit sebelum tidak sedarkan diri, meninggal dunia

Menjerit sebelum tidak sedarkan diri, meninggal dunia

Nibong Tebal: Pemandu kren ditemukan meninggal dunia di kawasan tempat letak motosikal sebuah flat di Taman Idaman, Simpang Ampat di sini, pagi hari ini.

Ia disedari seorang penghuni flat berkenaan ketika membuang sampah dan menemui lelaki berusia 45 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern berkata, saksi berkenaan memaklumkan dia ternampak mangsa duduk di tempat letak motosikal terbabit.

“Bagaimanapun, dia terkejut apabila mangsa tiba-tiba menjerit dan terus berbaring serta tidak sedarkan diri.

Petugas perubatan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) yang ke lokasi kemudiannya memaklumkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis yang ke lokasi kemudiannya menjalankan siasatan dan pemeriksaan awal terdapat kesan luka di celah jari kelingking tangan kiri dan celah jari telunjuk tangan mangsa serta kecederaan di rusuk kirinya.

“Berdasarkan keterangan beberapa penduduk, mereka ternampak sekumpulan lelaki tidak dikenali dan bukan penduduk di situ berkumpul dan bertengkar pada 8 pagi.

“Namun, pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian tidak nampak mangsa dipukul,” katanya.

Chong Chern berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses dibedah siasat yang akan dijalankan esok.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum mendapat laporan penuh punca kematiannya selepas bedah siasat,” katanya