Mengamuk tendang pintu pagar Masjid, marah tak dapat Solat Jumaat

Mengamuk tendang pintu pagar Masjid, marah tak dapat Solat Jumaat

Di media sosial, tular sebuah video yang berdurasi kurang satu minit memaparkan tindakan seorang lelaki dipercayai seorang penghantar barang yang bertindak menendang pintu masjid.

Difahamkan, dia didakwa berbuat demikian kerana berang tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Selayang pada hari Raya Aidilfitri kedua.

Suspek telah ditahan

Sekadar gambar hiasan

Lapor Malaysia Gazzete, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dari IPD Gombak telah membuat tangkapan dan menahan suspek yang berusia 35 tahun itu ketika dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ujar Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada bilal masjid yang memberitahu pagar besi masjid itu telah tercabut.

Semakan lanjut polis pada kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari masjid berkenaan mendapati seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dipercayai milik bapanya dalam keadaan seperti mengamuk dan menendang pagar besi masjid sehingga tercabut dan jatuh.

Direman selama 4 hari

Foto: Tangkap layar video

Tambah Arifai lagi, menerusi siasatan yang dijalankan oleh pihaknya mendapati suspek berbuat demikian kerana berasa marah dan kecewa berikutan tidak mendapat kebenaran untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak pengurusan ketika itu.

Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah manakala semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan lampau jenayah dan dadah.

Kini, suspek telah direman selama empat hari sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427/295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang.

Sumber: Malaysia Gazzete