Mengamuk sampai nak bakar motosikal ibu, kisah derita wanita besarkan 5 anak seorang diri

Mengamuk sampai nak bakar motosikal ibu, kisah derita wanita besarkan 5 anak seorang diri

Menjadi seorang ibu bukanlah perkara mudah, apatah lagi ibu tunggal yang terpaksa membanting tulang seorang diri untuk menyara keluarga.

Begitulah nasib wanita cekal yang dikenali sebagai Puan Sintia Nasution. Bergelar ibu tunggal kepada lima orang cahaya mata setelah kematian suami, liku kehidupan Puan Sintia tak hanya berhenti di situ.

Salah seorang anaknya turut jatuh sakit secara tiba-tiba setahun lalu. Keadaan anaknya ini membuat kehidupan Puan Sintia sekeluarga bertambah parah dan sangat memerlukan bantuan.

Melalui laman Facebook Natipah Abu, wanita ini berkongsi kisah pilu Puan Sintia yang mengharapkan sumbangan orang ramai untuk memulakan kehiudpan baharu. Ikuti perkongsian penuh di bawah.

Bantuan ibu tunggal, keperluan RM7 ribu

Sumbangan Maybank Jariah Qaseh Malaysia – 552107634719

Puan Sintia merupakan seorang warga Indonesia. Berdagang nasib ke Malaysia sejak 15 tahun yang lalu dan bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji hanya RM450 pada ketika itu.

Dua tahun berkerja Puan Sintia ditakdirkan jatuh cinta dengan lelaki yang 28 tahun lebih tua darinya. Biarpun tidak bepekerjaan tetap namun keikhlasan lelaki itu menyintainya telah membawa mereka ke alam rumah tangga.

Dalam usia 26 tahun, dia menikahi lelaki yang berusia 54 tahun. Alhamdulillah perkahwinan mereka membawa bahagia bila dikurniakan lima orang cahaya mata.

Namun apakan daya, takdir Allah telah menentukan bahawa suami yang selama ini menjadi tempat mereka berpaut kasih itu akhirnya pergi dijemput Maha Pencipta. Arwah suami kembali ke alam abadi dua tahun yang lalu akibat masalah jangkitan kuman dan paru-paru berair.

Sejak itu, bermulalah liku hidup yang penuh ranjau dan onak untuk Puan Sintia tempuhi bersama anak-anak yang masih kecil, berusia tiga hingga 12 tahun.

Gambar: Natipah Abu

Lebih sedih, anak ketiganya Cahaya Izzati (9 tahun) tiba-tiba jatuh sakit sejak hampir setahun yang lalu. Anak yang dulunya sihat berubah laku menjadi hiperaktif dalam sekelip mata.

Segalanya berpunca bila Cahaya tiba-tiba diserang sawan walhal dia tidak demam. Sejak itu, keadaannya menjadi sukar dikawal dan akan mengamuk atas sebab yang kecil.

Pengesahan yang kita dapat dari pihak hospital, anak ini telah didiagnosis mengidap Anti NMDAR Encephalitis. Antara lain menyebut, sawan menyebabkan keradangan kepada otaknya.

Cahaya akan mengamuk dan bertindak di luar jangkaan. Keadaan ini menyebabkan Puan Sintia sangat tertekan dan tidak dapat bekerja dengan tenang.

Gambar: Natipah Abu

Dalam keadaan perlu menjaga Cahaya, Puan Sintia juga terpaksa bekerja demi menyara kehidupan mereka. Siapa lagi yang akan menyara mereka anak beranak kalau bukan si ibu.

Alhamdulillah, Puan Sintia pandai memasak dan dia menumpang berniaga makanan di warung milik sahabatnya.

Tetapi kerjanya selalu tergendala dengan keadaan Cahaya. Tiada siapa pun yang sanggup menjaga Cahaya yang boleh mengamuk dan agresif pada bila-bila masa.

Baru-baru ini, Cahaya tiba-tiba menghilangkan diri. Bagai orang gila, Puan Sintia mencari Cahaya. Bimbang sekali dia dengan keselamatan anak gadis sunti itu.

Hancur luluh hatinya bila melihat Cahaya keletihan dan tertidur di taman. Sebaik dikejutkan untuk pulang, Cahaya mengamuk dan bertindak hendak membakar motosikal ibunya.

Gambar: Natipah Abu

Orang yang tidak faham tentang Cahaya tentunya akan melabelkan dia sebagai budak jahat. Mereka tidak tahu, inilah sakit yang ditanggung anak yang sudah bergelar anak yatim ini.

Pernah ketika dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan, Cahaya telah menutup salah satu suis utama di hospital menyebab operasi semua komputer padam.

Sewaktu ditenangkan ibu, Cahaya telah menolak ibunya di khalayak. Jatuh tersungkur si ibu bersama air mata yang gugur tanpa dapat ditahan lagi.

Bagi pihak hospital, mereka sudah banyak membantu keluarga ini. Sejak arwah suami Puan Sintia terlantar sakit di wad sehinggalah ke hari ini.

Puan Sintia perlu ke HPP (Hospital Pulau Pinang) membawa Cahaya bertemu pakar neuro bagi rawatan lanjut seperti yang dijadualkan.

Meletakkan Cahaya di bahagian raga hadapan motosikal, kedua beranak ini bertolak awal pagi dari rumah untuk mengelakkan kesesakan dan terik matahari.

Dua kali Puan Sintia ke HPP dengan motosikal, dua kali jugalah Jabatan Kerja Sosial Hospital Pulau Pinang menyewa pikap dan menghantar dua beranak itu pulang ke rumah.

Pihak hospital bimbang keselamatan mereka yang menunggang motosikal berjam-jam lamanya. Bimbang jika Cahaya tiba-tiba melompat turun dari motosikal dan sebagainya.

Satu-satunya cara untuk membolehkan Puan Sintia bekerja ialah meninggalkan Cahaya di bawah jagaan datuk dan neneknya di Medan, Indonesia. Walaupun terpaksa berjauhan tetapi itulah satu-satunya cara yang dapat difikirkan oleh Puan Sintia buat masa ini.

Dua orang anak Puan Sintia ada di tahfiz. Alhamdulillah masa depan keduanya sudah tidak perlu dikhuatirkan lagi.

Dalam keadaan hari ini, Puan Sintia juga menghadapi masalah tunggakan bil-bil termasuk motosikal yang bakal ditarik kerana hutang.

Gambar: Natipah Abu

Sedekah Jumaat kita hari ini diakad dengan niat untuk menyelesaikan semua tunggakan hutang Puan Sintia Nasution dan memodalkan beliau untuk berniaga serta membantu beliau meneruskan kesinambungan hidup.

Cahaya pula akan kita hantar pulang ke pangkuan datuk dan neneknya di kampung sebaik mendapat tiket penerbangan ke sana.

Sumber: Natipah Abu