Mayat rentung ditemukan dalam kebakaran setinggan

Satu mayat rentung ditemukan dalam kebakaran membabitkan deretan empat rumah setinggan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Jaya, di sini, malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, setakat ini mangsa yang rentung itu dikenal pasti seorang lelaki berusia 48 tahun.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.29 malam dan empat jentera bomba dengan 24 anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Jentera terbabit dalam operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah, Ampang, Pudu, Hang Tuah, Keramat dan Wangsa Maju.

“Kebakaran membabitkan empat rumah setinggan kelas C berkeluasan 2,090 meter persegi yang sudah terbakar 90 peratus.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian menemui satu mayat lelaki yang terbakar 100 peratus. Kebakaran itu berjaya dikawal pada 9 malam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden berkenaan. – HM