Mayat bayi lelaki empat bulan ditemukan dalam tong sampah

Mayat bayi lelaki empat bulan ditemukan dalam tong sampah

Mayat bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan ditemukan di tempat pembuangan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki di lokasi tersebut kira-kira 3 petang.

“Hasil pemeriksaan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang wanita warga asing dan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 40-an di sekitar lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah tahanan reman bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim bin Wan  Mohd. Noor dalam laporan Sinar Harian pada 25 April 2019, dosa membuang bayi adalah sama tak kira dimana tempat si pelaku meninggalkan bayi tersebut.

Sama ada ditinggalkan di tandas, stesen bas mahupun di masjid sekalipun dosanya tetap sama

“Di mana saja mereka buang (bayi), dosanya tetap sama. Dalam Islam, ia berdosa besar. Tak kira buang di mana pun, walaupun rumah ALLAH iaitu masjid.

“Kemungkinan kerana didorong agar orang yang baik dan bertanggungjawab menjumpai bayi mereka, maka mereka memilih masjid untuk melakukan perbuatan keji itu,” katanya