“Mati mengejut…” Serangan jantung punca pemandu kren maut

“Mati mengejut…” Serangan jantung punca pemandu kren maut

Nibong Tebal: Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian pemandu kren yang ditemukan tidak sedarkan diri di parkir motosikal sebuah flat di Taman Idaman, Simpang Ampat di sini, Ahad lalu disebabkan serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern berkata, terdahulu, mayat lelaki berusia 45 tahun itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dibedah siasat semalam.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan serangan jantung.

“Oleh itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Ahad lalu, seorang penghuni flat itu yang turun membuang sampah pada jam 10.30 pagi menemui seorang lelaki tidak sedarkan diri.

Sebelum itu, saksi ternampak mangsa duduk di lantai parkir motosikal berkenaan.

Bagaimanapun, saksi terkejut apabila mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan sebelum terbaring tidak sedarkan diri.